Usah gadaikan Khazanah Nasional

A
A
A

Institusi Dana Kekayaan Negara atau Sovereign Wealth Fund adalah antara badan pelaburan bagi sesebuah kerajaan yang merdeka dan berdaulat.

Ia tidak sama dengan dana-dana pelaburan lain seperti dana pelaburan amanah (ASB) dan tabung pencen (KWSP atau KWAP) atau dana amanah dan pelaburan yang lain.

Dana kekayaan negara selalunya dimiliki penuh oleh kerajaan dan diberikan mandat yang spesifik untuk melabur bagi menjana pendapatan kepada kerajaan atau sebagai simpanan strategik negara untuk masa depan.

Bagi Malaysia, Khazanah Nasional Berhad adalah dana kekayaan negara yang dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Sovereign Wealth Fund Institute (SWF Institute) iaitu sebuah laman yang memantau perkembangan dana kekayaan negara global dan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan sebanyak 10 dana kekayaan negara yang terbesar di dunia adalah seperti berikut:

1. Norway Government Pension Fund Global (AS $1.108 trilion)

2. China Investment Corporation (AS$940 bilion)

3. Abu Dhabi Investment Authority (AS$696 bilion)

Artikel Berkaitan:

4. Kuwait Investment Authority (AS$592 bilion)

5. Hong Kong Monetary Authority Investment Portfolio (AS$509 bilion)

6. GIC Private Limited (AS$440 bilion)

7. National Council for Social Security Fund (AS$437 bilion)

8. SAFE Investment Company (AS$417 bilion)

9. Temasek Holdings (AS$375 bilion)

10. Qatar Investment Authority (AS$328 bilion)

Melalui maklumat itu, boleh dirumuskan dengan mudah bahawa terdapat dua jenis konsep dana kekayaan negara di dunia.

Pertama, dana yang dikutip dan dikumpulkan hasil galian negara seperti minyak kemudian dilaburkan untuk meraih pulangan bagi kerajaan dan simpanan masa depan agar negara tidak lagi terlalu bergantung kepada hasil minyak seperti Norway, Abu Dhabi, Kuwait dan Qatar.

Kedua, dana daripada pulangan pelaburan dasar ekonomi dan kewangan yang bijak dan ia dilaburkan semula sehingga bersaiz besar seperti China, Hong Kong dan Singapura.

Persoalannya kini, bagaimana pula Khazanah Nasional milik kita? Khazanah Nasional ditubuhkan pada 3 September 1993 dengan mandat untuk menguruskan aset-aset komersial kerajaan termasuk membuat pelaburan di sektor-sektor strategik dan berteknologi tinggi.

Pada era Tun Abdullah Badawi, Khazanah Nasional Berhad diberi nafas baru dan berkembang di bawah era Barisan Nasional sehingga ditransformasikan menjadi antara dana kekayaan negara yang dihormati dengan nilai aset RM110 bilion (AS$28 bilion) dan berada di tempat ke-29 dalam senarai SWF Institute.

Jual aset

Amat mengecewakan apabila fenomena menjual aset-aset strategik dan bernilai tinggi oleh Khazanah Nasional sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah Putrajaya seperti tiada kesudahan sehingga aset bernilai lebih RM30 bilion terlepas daripada tangan kita.

Bukankah perkara itu amat janggal jika dibandingkan dengan dana kekayaan negara yang lain di mana mereka bersungguh-sungguh meningkatkan portfolio pelaburan dan pulangan demi kewangan kerajaan dan kebajikan negara.Ditambah dengan dasar ekonomi yang bersifat populis iaitu pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga menyebabkan kelompongan belanjawan tahunan mencecah lebih RM20 bilion setahun.

Penjualan aset negara hanyalah bersifat one-off dan boleh membiayai perbelanjaan tahun itu. Bagaimana dengan tahun-tahun seterusnya? Adakah kerajaan akan meneruskan penjualan ini atau akan menjarah tunai Petronas seperti tahun ini?

Justeru, peranan Khazanah Nasional Berhad sangat penting kepada Malaysia.

Aset-aset Khazanah Nasional yang strategik harus digembleng bersama dasar ekonomi yang progresif dan adil bagi merancak ekonomi negara, menggalakkan pelaburan, mencipta pekerjaan yang bergaji wajar.

Selaku antara pemilik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar, Khazanah Nasional juga boleh menjadi peneraju meningkatkan nisbah gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menarik pihak swasta untuk menaikkan gaji pekerja.

Sehubungan itu, kita harus kembalikan Khazanah Nasional kepada peranan mereka sebagai dana kekayaan negara yang sebenar agar ia boleh menyaingi senarai yang di atas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!