Najib atur penipuan SRC sejak dari mula: Peguam Negara
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengatur penipuan SRC International Sdn Bhd sejak permulaan lagi, di mana dia telah mendapat manfaat selama lebih daripada tiga tahun, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Beliau berkata, tertuduh juga merupakan 'pengarah di belakang tabir' SRC yang mendapat manfaat kewangan dari tabung SRC, di mana beliau diberi amanah kawalan sepenuhnya ke atas harta benda SRC.
Thomas juga berkata, Najib memiliki kepentingan terhadap SRC.
"Kepentingan yang dimiliki tertuduh disembunyikan di sebalik pelbagai tipu helah, di belakang nama orang yang tidak dapat dicari, dan watak-watak yang diragui," katanya dalam penghujahannya di penghujung kes pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.
Bagaimanapun Thomas berkata, fakta-fakta tetap menunjukkan bahawa tertuduh dan proksinya mengawal di belakang tabir SRC.
“Mengapa kerajaan amat berminat dan melakukan segalanya bagi membantu SRC, sebuah syarikat yang baharu dibangunkan tanpa rekod lampau, baharu beroperasi 12 bulan, dan amat berminat untuk memberi kemudahan mendapatkan pinjaman RM2 bilion, dan diikuti dengan RM2 bilion yang kedua dalam tempoh masa lapan bulan antara keduanya, kepada SRC?
"Kesimpulan yang tidak dapat dinafikan lagi adalah ia harus menunjuk kepada kepentingan tertuduh dalam SRC,” katanya.
Thomas seterusnya berhujah bahawa kuasa 'melantik' dan 'memecat' yang diberikan oleh Perlembagaan SRC kepada tertuduh mempunyai kesan yang menjadikan beliau sebagai pembuat keputusan yang muktamad di SRC.
“Tiada keputusan-keputusan yang penting yang boleh diputuskan oleh SRC tanpa arahan daripada tertuduh, memang tidak ada,” katanya.
Najib, 66, berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan penggubahan wang yang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!