MB Selangor cuba tutup kelemahan
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari didakwa cuba untuk menutup kelemahan kerajaan negeri apabila membuat pengumuman mengenai peningkatan jumlah pelaburan di negeri ini berbanding tahun lalu.
Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata peningkatan pelaburan di Selangor merupakan satu perkembangan positif namun rakyat pada hari ini sudah tidak mempedulikan mengenai perkara itu memandangkan mereka berhadapan dengan isu peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan.
Beliau berkata, rakyat Selangor hanya mengharapkan agar isu bebanan kos sara hidup ini menjadi agenda utama kerajaan negeri seperti yang dijanjikan sebelum PRU14 lalu.
"Saya yakin, rakyat hari ini dah tak nak tahu pun mengenai pelaburan di Selangor meningkat atau tidak, kerana mereka hanya harapkan isu bebanan kos sara hidup mendapat perhatian sewajarnya.
"Bagi saya, pengumuman (peningkatan pelaburan) tersebut adalah untuk tutup kelemahan kerajaan negeri yang hanya sekadar pandai berkata-kata namun pelaksanaannya tak nampak lagi," katanya kepada Sinar Harian.
Menerusi kenyataanya di akaun Twitter rasmi beliau, Amirudin memaklumkan bahawa jumlah pelaburan di Selangor mencecah nilai RM8.25 bilion sehingga September tahun lalu dan jumlah itu melepasi sasaran RM7 bilion serta lebih tinggi daripada RM5.59 bilion pada 2017.
Susulan itu, kenyataan Amirudin tersebut dilihat mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mengasak pelbagai soalan dan desakan kepada beliau berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Rizam yang juga merupakan Adun Sungai Air Tawar memaklumkan bahawa pengumuman tersebut adalah merupakan langkah kerajaan negeri bagi mengelirukan rakyat di negeri ini.
"Pada saya, janganlah gula-gulakan rakyat dengan kata-kata indah sahaja tapi pada masa sama, rakyat tak merasai langsung manfaat daripada peningkatan pelaburan tersebut
"Sebagai contoh, apabila Kerajaan Selangor membelanjakan wang yang besar untuk ambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash), namun pada akhirnya rakyat secara keseluruhan tak dapat nikmati air percuma di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!