Bayi selamat dilahirkan semasa puting beliung melanda
ROWLETT - Seorang bayi selamat dilahirkan di Amerika Syarikat ketika angin puting beliung (tornado) melanda dengan hanya ditemani lilin dan bunyi siren di bilik dobi sebuah pusat kelahiran.
Perkara itu dikongsikan Facebook Pusat kelahiran 'Bump Birthing', yang mengalu-alukan bayi yang baru lahir di bilik dobi mereka Ahad lalu.
"Seorang bayi perempuan yang lahir di bilik dobi dengan siren angin puting beliung, puting beliung tidak sampai satu kilometer jauhnya, dan tiada bekalan elektrik... Hanya dengan cahaya lilin," tulisnya.
Sementara itu, ibu bayi tersebut Mech Metiege tidak menunggu lama selepas ada tanda - tanda melahirkan selepas mengandung 41 minggu anak sulungnya itu.
Dia dan suaminya pergi ke pusat tersebut meskipun keadaan ribut dan angin puting beliung melanda kawasan tersebut dan bekalan elektrik terputus.
"Saya ke sana hanya mahu melahirkan bayi saya, jadi saya tidak memikirkan Tornado (puting beliung) ataupun apa-apa," katanya yang turut dibantu pekerja pusat kelahiran melalui proses itu.
Kedua-dua ibu dan anak perempuannya sihat dan gembira kerana angin puting beliung sudah reda. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!