'Saya memang gila waktu berlumba'

Azizulhasni akui 'gila' ketika berlumba.
Azizulhasni akui 'gila' ketika berlumba.
A
A
A

"DALAM dunia pecut memecut, kalau catatan masa di bawah 10 saat memang orang katakan itu kerja orang gila. Orang normal tak boleh buat. Ya betul memang saya gila tapi saya gila waktu berlumba."

Itu antara reaksi spontan jagoan negara, Mohd Azizulhasni Awang ketika mengulas kejayaannya mencipta rekod meraih pingat emas ke-10 dalam kariernya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 di Velodrom Perkampungan Atlet Jincheon, Korea Selatan semalam.

Menerusi catatan dalam laman sosial Facebook peribadinya yang bertajuk The Man Who Refused To Be Beaten pagi tadi, Azizulhasni mengakui dia terpaksa mengerah segala keringat yang ada untuk memenangi perlumbaan akhir acara pecut individu tersebut.

“Dalam (acara) keirin, pelumba boleh menggunakan taktik musuh untuk membantu taktik peribadi mereka. Sebagai contoh, mengekori lawan ke hadapan (boleh jimat tenaga) atau mengekori pecutan lawan sebelum melakukan counter attack.

“Berbeza dengan (acara) pecut, pelumba perlu berlumba head to head, toe to toe. Tidak ada elemen luar lain yang boleh digunakan untuk membantu pecutan atau pergerakan. Saya suka mengibaratkan pecut seperti tinju.

“Ya betul kerana anda dengan lawan anda harus bergomol sesama sendiri menggunakan kudrat dan taktik yang anda ada," katanya yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman.

Azizulhasni dijulang dua pelumba Jepun selepas memenangi emas acara pecut individu ACC 2020 kelmarin.
Azizulhasni dijulang dua pelumba Jepun selepas memenangi emas acara pecut individu ACC 2020 kelmarin.

Mengimbas kembali detik-detik kejayaannya itu, Azizulhasni berkata, dia mula kepenatan selepas tewas tipis kepada pencabarnya dari Jepun, Yuta Wakimoto dalam pertarungan pusingan pertama.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan badan yang penuh dengan asid laktik hasil daripada kerahan pecutan tadi (pusingan pertama), saya terus ke tandas dan muntah. Saya cuba mengawal pernafasan dan buat segala cara untuk pulih seperti biasa.

"Terus terlintas di benak fikiran, pertarungan kali ini adalah untuk merebut takhta juara Asia peribadi saya buat kali ke-10. Satu pencapaian yang belum pernah dicapai orang lain lagi dan paling penting itu adalah impian dan misi peribadi saya.

"Saya bercakap dengan diri sendiri, memberitahu otak supaya jangan mengalah dan jangan biarkan musuh anda merampas impian tersebut," jelas pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 31 tahun itu.

Azizulhasni berkata, Wakimoto yang menewaskannya ketika memenangi acara keirin Jumaat lalu menampilkan rentak kayuhan lebih tinggi pada pusingan kedua bagi menghalangnya mencipta kemenangan.

Gambar dikongsikan Azizulhasni di laman mikro Twitter miliknya pada saingan semi final Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020.
Gambar dikongsikan Azizulhasni di laman mikro Twitter miliknya pada saingan semi final Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020.

"Disebabkan pace yang tinggi saya perlu tunggu ke selekoh terakhir untuk memotong kerana banyak faktor yang terlibat. Bila memecut bersebelahan, faktor rintangan angin pula akan memperlahankan kayuhan kita.

"Jadi selepas mengerahkan segala kudrat yang ada, saya memenangi perlumbaan tersebut dan kami ke pusingan penentuan," ujarnya yang merekodkan catatan masa 9.824 saat pada pusingan kedua.

Sebagai rekod, Azizulhasni turut menyambar emas acara pecut individu pada ACC 2008, 2009, 2014, 2017 dan 2019 selain meraih tiga emas keirin dalam edisi 2007, 2008 dan 2015 serta pecut berpasukan pada 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!