52kg plastik dalam perut lembu
CHENNAI - Sisa plastik seberat 52 kilogram (kg) dikeluarkan daripada perut seekor lembu di India menerusi prosedur pembedahan yang mengambil masa lebih lima jam.
Pasukan veterinar daripada Universiti Sains Haiwan dan Veterinar Tamil Nadu (TANUVAS) terkejut apabila menemukan sisa plastik tersebut yang ditelan lembu tersebut dalam tempoh dua tahun.
Selain sisa plastik, mereka turut menjumpai duit syiling, skru dan paku dalam perut lembu itu yang dihantar ke pusat terbabit kira-kira 20 hari lalu.
Menurut pemiliknya, dia membeli haiwan itu ketika ia sedang bunting kira-kira enam bulan malah ia juga telah melahirkan anaknya lebih dua minggu lalu.
"Lembu itu mengalami kesukaran untuk membuang najis dan kencing. Ia juga tidak dapat menghasilkan susu dan sering menendang perutnya," ujar pemiliknya lagi.
Selepas memerhatikan masalah itu, dia kemudiannya membawa lembu itu ke veterinar tempatan yang menyarankan supaya menghantar haiwan itu ke TANUVAS.
Ujian pemeriksaan sinar X dan ultrabunyi yang dibuat menunjukkan sisa plastik telah memenuhi 75 peratus rumen yang merupakan salah satu ruang dalam perut lembu tersebut.
Dr S Balasubramaniam di TANUVAS berkata, pembedahan dilakukan pada 18 Oktober lalu dan perlu dilakukan secara berhati-hati kerana bimbang ia akan merosakkan dinding rumen.
"Pembedahan itu sangat mencabar. Prosedur seperti itu biasanya hanya mengambil masa dua jam. Selepas pembedahan itu, ruang rumen itu turut diisi 5 kg bran dan probiotik dalam bentuk bolus untuk pemulihan lebih cepat," jelasnya.
Difahamkan, veterinar kini sedang melakukan rawatan susulan ke atas lembu itu.
Pada 2 Oktober lalu, kerajaan pusat telah mengumumkan larangan penggunaan plastik sekali guna sebagai usaha untuk mengurangkan kesan pencemaran bahan tidak boleh diurai. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!