Bajet 2020: Ilusi, realiti dan harga diri

No Image Caption
A
A
A

Pastinya untuk beberapa minggu ini akan berbahaslah pemimpin dan rakyat akan bajet dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober lalu.

Jelas sekali pemimpin dan pendokong kerajaan mahupun pembangkang mula melontarkan hujah masing-masing.

Maka, bermulalah satu lagi fasa di mana ada yang berhujah menyokong dan tidak kurang juga yang memperlecehkan.

Hakikatnya ada hujah yang boleh dianggap sekadar ilusi dan ada yang ada kebenarannya. Kedua-duanya pasti ada kesannya kepada masyarakat yang masing tertanya-tanya.

Ia realiti hari ini di Malaysia di mana setiap perkara kerap dilihat daripada lensa politik kepartian. Perkara benar yang dibuat kerajaan tidak boleh diterima pembangkang dan perkara benar dinyatakan pembangkang juga tidak boleh diterima kerajaan.

Itulah tahap keterbukaan pemimpin kita apatah lagi penyokong tegar masing-masing. Dengan kata lain, kematangan sebenar masih jauh dari jangkauan.

Berbalik kepada Belanjawan 2020, pada asasnya RM297.2 bilion untuk tahun 2020 berbanding RM314.5 bilion pada 2019 adalah jumlah yang tidak memberangsangkan di mana turun sebanyak 5.5 peratus.

Pastinya RM7.3 bilion itu satu jumlah yang cukup besar. Iaa menggambarkan kewangan negara bukan pada tahap yang baik.

Artikel Berkaitan:

Dengan kata lain, pasti ada golongan yang kurang diberi perhatian dalam bajet kali ini.

Namun begitu, ada juga yang merekodkan peningkatan contohnya sektor pendidikan.

Walau bagaimanapun, belanjawan kemuncak Wawasan 2020 ini nampaknya tidak begitu berseri seperti yang pernah digambarkan hebatnya Malaysia selepas melengkapkan misi 30 tahun untuk menjadi negara maju.

Harapan rakyat Malaysia untuk merasa nikmat negara maju dengan pembentangan 'bajet impian semua' tidak berlaku malah impian negara maju terpaksa ditangguhkan hingga 2030 seperti disasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Sama ada WKB2030 menjadi kenyataan atau tidak, ia bergantung kepada kesanggupan rakyat Malaysia khususnya pemimpin di semua peringkat membebaskan diri daripada terus 'bergelumang dengan najis' iaitu sebagai pemberi dan penerima rasuah.

Kembali kepada isu bajet dan peruntukan untuk satu-satu agenda itu, pastinya amat penting untuk dinilai dari sudut keberkesanan dan impak.

Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020 iaitu sebanyak RM64.1 bilion sewajarnya membuatkan semua barisan kepimpinan utamanya menerima peruntukan ini dengan rasa insaf dan sedar betapa beratnya tanggungjawab dan tingginya harapan yang diberikan kepada mereka.

Dengan kata lain, RM64.1 bilion bukan untuk disambut dengan sorakan kegembiraan, apatah lagi untuk mengatur 'kaki atau kroni' bagi tujuan mencari dana atau kekayaan luar biasa.

Ingatlah, bahawasanya wang itu adalah wang pembayar cukai yang perlu dipastikan tidak akan terbazir walau satu sen sekalipun.

Sudah tiba masanya mereka yang bertanggungjawab untuk mengurus peruntukan, geran mahupun pinjaman dan kontraktor/pembekal yang mengusahakannya menandatangani aku janji amanah dan integriti.

Jika mereka didapati bersalah iaitu berunsur penipuan, amat wajar dikenakan hukuman keras.

Amat memalukan bila stadium dibina, bumbungnya runtuh, makmal dibina, silingnya runtuh dan itu belum lagi kualiti kerja workmanship yang ada antaranya amat mengecewakan.

Sesungguhnya sudah terlalu lama rakyat dan negara dianiaya oleh mereka yang tamak haloba dan sanggup menipu kos sebenar projek pembangunan.

Sesungguhnya pemimpin yang tidak amanah adalah pengkhianat negara. Mereka dan kroni atau proksi merompak negara siang dan malam tanpa rasa berdosa.Malangnya rakyat bawahan juga yang dipandang hina. Itulah nasib apabila diri atau kaum itu miskin. Mereka sentiasa jadi bahan sendaan orang kaya.

Walau apapun keadaannya, rakyat Malaysia jangan pernah rasa putus asa. Buktikan kepada dunia bahawa kita adalah bangsa merdeka, bangsa bermaruah yang pastinya mampu merealisasikan apa juga yang kita dicita-citakan.

*Prof Haim Hilman Abdullah ialah pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!