ICERD tidak perlu di Malaysia

Prof-Datuk-Dr-Teo-Kok-Seong
Prof-Datuk-Dr-Teo-Kok-Seong
A
A
A
SHAH ALAM - Pakar sejarah dan sosio budaya negara berpandangan kerajaan tidak perlu untuk meratifikasi konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurut Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong ini kerana Malaysia telah terbukti tidak mengamalkan amalan diskriminasi.

Katanya, perkara ini boleh dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjaga hak semua rakyat di negara ini.

"Sebenarnya kita lebih awal dari ICERD dalam menangani diskriminasi, ICERD wujud pada tahun 1965 dan ia dikuatkuasakan pada 1969, negara kita merdeka pada 1957 dan menerusi Perlembagaan Persekutuan kita sudah ambil kira supaya tiada diskriminasi.

"Dan apabila tertubuhnya Malaysia pada 1963, kita sudah mengambil cakna semua perkara termasuk hak Sabah, Sarawak, jadi kita lebih awal sedar tentang diskriminasi ini daripada ICERD, jadi tidak perlu pun ICERD ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai isu ICERD yang semakin panas sekarang.

Beliau berkata, Malaysia dalam laksanakan satu dasar pasti ada semangat bangsa dan agama yang kuat.

“Jadi kalau berlaku sedikit tersasar kita selesaikan dalam Malaysia, kita ada perundangan yang cukup untuk selesaikan apa-apa yang tak betul dalam negara kenapa nak bawa ke pentas antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu katanya, sekiranya ICERD diratifikasi oleh Malaysia ia bakal membawa 'malapetaka' buat negara.

"Kalau kita ratifikasi ICERD sekarang kita akan guna kayu ukur mereka dan akan banyak pengecualian, banyak nota kaki, jadi buat apa nak terima sesuatu yang banyak pengecualian , maksudnya ICERD dibuat barat jadi ada kayu ukur tertentu kadang tak sesuai dengan kita dan jika sesuatu itu tak berpihak pada kita kenapa nak terima?," katanya lagi.
Artikel Berkaitan:


Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, pada hakikatnya tiada amalan diskriminasi dalam negara kita.

"Kalau orang Cina kata wujud diskriminasi, sebenarnya mereka dapat melibatkan diri secara aktif dalam ekonomi, mereka kaya raya.

"Kalau kita kata pendidikan Cina disekat, mana ada sekolah Cina disekat, hinggakan wujudnya 1,300 buah Sekolah Jenis Kebangsaan malahan ada sekolah persendirian dan hakikatnya sistem pendidikan Cina di Malaysia adalah terbaik selepas negara China, Hong Kong dan Taiwan kalau ada diskriminasi mana mungkin ia maju," katanya lagi.

Justeru itu bagi menyelesaikan polemik berhubung ICERD ini beliau mencadangkan agar perkara ini dibahaskan di Parlimen.

"Bagi saya, perkara ini perlu dibahaskan di Parlimen, kita ada 222 ahli Parlimen, mereka perlu bahas bagi pihak rakyat dan dari situ kita tengok bagaimana, kita bincang bersama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!