Beri alasan universiti pegang pasport elak ditahan Imigresen

Antara warga asing yang diperiksa oleh Imigresen Selangor.
Antara warga asing yang diperiksa oleh Imigresen Selangor.
A
A
A

PUCHONG - Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan alasan pasport mereka berada pada pihak universiti bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Selangor ketika serbuan di sebuah kondominium di Bandar Saujana Putra, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 45 warga asing dari Nigeria (20 orang), Guinea (10), Somalia (lima), Yemen (empat), Bangladesh (tiga) manakala Libya, Uganda dan Maldives masing-masing seorang ditahan.

Ketua Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Selangor, Mohamad Rahmat Abdul Manap berkata, kesemua mereka melibatkan 31 lelaki dan 14 wanita merupakan antara 181 warga asing yang diperiksa dalam serbuan tersebut.

"Mereka menggunakan alasan pihak universiti menahan pasport mereka kerana gagal menjelaskan yuran dan ada juga yang mengakui mereka dalam proses lanjutan pengajian.

"Sebahagian daripada mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, salah guna pas," katanya pada sidang media selepas operasi tamat kira-kira jam 4 pagi tadi.

Mohamad Rahmat berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu ketika operasi dilaksanakan kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

"Kita telah melakukan risikan selama dua minggu sebelum menjalankan operasi yang melibatkan 68 anggota Jabatan Imigresen Selangor," katanya.

Kesemua individu yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun dibawa ke bahagian penguatkuasaan Imigresen Selangor untuk siasatan selanjutnya sebelum dihantar ke Depot Tahanan di Semenyih.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!