Ketumbuhan limfoma 'dibela' sebesar kepala
Enggan dapatkan rawatan awal kanser darah boleh undang mimpi ngeri
'TAK mengapakah, bengkak kecil saja. Nanti hilanglah ni', getus Norain Yahya, 34, di dalam hatinya.
Hampir setahun berlalu, bengkak kecil itu mula menampakkan saiz yang kurang disenangi dirinya sendiri. Hal itu menyebabkan beliau berjumpa pakar.
Alangkah terkejutnya Norain apabila beliau disahkan menghidap kanser limfoma dan ia sudah pada tahap empat!
LIMFOMA merupakan sejenis kanser berkaitan dengan sel iaitu limfosit yang membabitkan sistem imunisasi manusia.
Limfoma atau lebih dikenali sebagai kanser darah berhubung rapat dengan sistem limfa yang merangkumi nodus atau kelenjar limfa, limpa, kelenjar timus dan sumsum tulang.
Berdasarkan sudut perubatan, kehadiran limfoma boleh menjejaskan semua kawasan tersebut (sistem limfoma) dan organ-organ lain pada seluruh badan.
Menurut, laman web healthline.com terdapat lebih 70 jenis limfoma yang wujud. Pun begitu, paling dominan ialah jenis Limfoma Hodgkin dan Limfoma Non-Hodgkin.
Apa yang menakutkan, pada peringkat awal serangannya, simptom yang ditunjukkan hanya sakit biasa seperti demam, gatal-gatal dan turun berat badan. Namun, secara tidak sedar, kanser sudah parah dan berada pada tahap empat. Bengkak limfoma yang membesar dikatakan boleh mencapai saiz sebesar kepala penghidapnya sendiri!
Sehingga kini, tiada penjelasan kukuh punca limfoma itu boleh berlaku. Namun menjadi persoalan, siapa yang berpotensi menjadi mangsanya?
Yang pasti, ada bahana menunggu jika simptom penyakit limfoma diabaikan begitu sahaja. Apa rawatannya? Mampukah penghidapnya sembuh dan kembali menjalani kehidupan normal? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif pada minggu ini.
Saiz ketayap
PADA mulanya, beliau mengalami keadaan kerap buang air besar dan batuk berdarah. Doktor memaklumkannya hanya menghadapi masalah gastrik.
Bagaimanapun, dek keadaan itu masih berlarutan, Ustaz Mohd Hanafiah Abdul Malik, 45, tidak sedarkan diri. Tidak semena-mena, pada 31 Januari 2017 menjadi detik pilu apabila pendakwah itu disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.
"Doktor melakukan pembedahan dari bawah dada hingga ke bawah pusat saya. 'Hasilnya', ketumbuhan kanser lebih kurang sebesar ketayap saya dengan berat lebih kurang satu kilogram (kg) berjaya dikeluarkan.
"Kanser tersebut rupa-rupanya telah merebak pada bahagian usus. Sepanjang 1.4 meter usus saya terpaksa dipotong. Melihat keadaan penyakit itu, doktor maklumkan kemungkinan saya sudah menghidapnya (penyakit kanser limfoma) lebih 10 tahun lamanya," kongsi pendakwah bebas terkenal itu dengan Sihat:Aktif baru-baru ini.
Perlu berdepan rawatan termasuk kemoterapi sesungguhnya, sesuatu yang sangat memeritkan bagi lelaki itu. Masakan tidak, Ustaz Mohd Hanafiah kehilangan berat badan daripada 130kg kepada 57kg.
Tekaknya asyik terasa loya. Pernah ada ketikanya, Ustaz Mohd Hanafiah muntah-muntah dari tengah malam hingga awal pagi. Apa sahaja makanan yang ditelan, terasa pahit.
Itu penangan penyakit kanser limfoma yang dideritainya dan kesan sampingan kemoterapi demi kesembuhan.
Ya, bukan mudah untuk melawan ketumbuhan sel-sel tisu jahat. Datangnya seperti ribut, tahu-tahu sudah menyerang, mahukan ia pergi pula bukan semudah memetik jari!
Jika disingkap statistik yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat kira-kira 19,000 daripada 100,000 rakyat Malaysia menghidap pelbagai jenis kanser dan pada masa sama mencatatkan punca kematian kedua tertinggi di negara ini.
Daripada jumlah itu, angka penghidap kanser limfoma agak dominan. Insiden limfoma meliputi 2.4 kes dalam 100,000 bagi golongan muda berumur 20 hingga 24 tahun. Lebih serius, data meningkat kepada 46 kes dalam 100,000 dalam kalangan golongan dewasa berumur 60 hingga 64 tahun.
Sementara di negara maju lain, statistik dikongsikan Pusat Kanser MD Anderson Universiti Texas, Amerika Syarikat menyaksikan, setiap tahun, dianggarkan 54,000 orang didiagnosis dengan Non-Hodgkin lymphoma (NHL) dan 7,000 kes Hodgkin lymphoma (HL). Ia adalah kanser darah paling lazim di negara Uncle Sam berkenaan.
Dalam pada itu, Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan lebih 50,000 kes NHL setiap tahun. Jumlah itu agak besar dan menakutkan bukan?
Merungkai tentang penyakit tersebut, Pakar Hematologi Jabatan Patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Nurasyikin Yusof melontarkan pandangannya.
Bengkak kelenjar
Ujar Dr Nurasyikin, limfoma adalah sejenis kanser darah yang tidak dinafikan kerap berlaku di Malaysia. Ia bermula dari sel lymphocyte (limfosit) yang tidak normal dan merebak dari kelenjar limfa. Ia diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu HL dan NHL. Pun begitu, kanser NHL lebih kerap berlaku.
Terang Dr Nurasyikin, antara gejala dan tanda-tanda yang khusus adalah bengkak pada kelenjar limfa.
"Kelenjar limfa ini berada banyak tempat pada badan terutama sekali pada leher, bawah ketiak dan paha. Gejala-gejala umum mudah dilihat dipanggil ‘B symptoms’ seperti demam, berpeluh terutama pada waktu malam dan penurunan berat badan yang ketara," katanya kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.
Ada karakter tertentu 'dipilih' oleh kanser berkenaan. Berikut mereka yang berisiko mendapat penyakit kanser limfoma yang dikongsikan oleh Dr Nurasyikin:
- Umur 15 hingga 40 tahun atau lebih 55 tahun, HL kerap berlaku, manakala pada umur lebih 60 tahun pula, lebih berisiko mendapat NHL.
- Mereka yang terkena jangkitan virus seperti Hepatitis C, Epstein Barr virus dan HTLV-1 virus.
- Mereka berpenyakit HIV dan menjalani transplantasi sumsum tulang.
- Keluarga yang menghidap limfoma.
- Golongan berpenyakit berkaitan sistem imun seperti Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).
- Terdedah kepada bahan kimia seperti benzene dan radiasi.
Kepada persoalan mengenai persepsi kononnya golongan muda dikatakan lebih mudah memperoleh kanser limfoma, menurut Dr Nurasyikin, ia bergantung kepada jenis-jenis limfoma dihadapi.
"Boleh jadi ia berlaku kepada golongan muda dan sebaliknya. Contohnya, HL berlaku pada golongan muda dan diffuse large cell lymphoma banyak berlaku pada golongan berusia. Ada jenis limfoma yang berlaku kepada wanita lebih daripada lelaki," jelasnya.
Berikut fakta tambahan yang dikongsikan beliau. Data diambil daripada Pendaftar Kanser Kebangsaan Malaysia pada 2007 hingga 2011 menyaksikan limfoma adalah kanser keempat tertinggi untuk lelaki dan keenam tertinggi untuk wanita.
Nisbah penghidapnya pula 1:167 bagi lelaki dan 1:247 wanita. Namun yang pasti, kadar penghidap penyakit limfoma di Malaysia semakin meningkat dari setahun ke setahun, kata Dr Nurasyikin.
Kanser darah
Sebenarnya ramai yang tidak tahu limfoma merupakan sejenis kanser darah. Ulas Dr Nurasyikin, limfoma berasal daripada sejenis sel darah yang dipanggil lymphocyte. Sel itu merupakan salah satu daripada sel darah yang 'bertugas' dalam sistem imun manusia untuk memerangi jangkitan terutamanya virus.
"Sekiranya terdedah kepada risiko yang disebut tadi, sel itu boleh mengalami perubahan mutasi genetik dan seterusnya bertukar menjadi sel kanser limfoma. Kaedah rawatannya bergantung kepada jenis dan tahap limfoma tersebut. Kebarangkalian untuk pulih pula bergantung kepada jenis dan tahap limfoma, umur pesakit dan jenis rawatan yang diterima," katanya.
Terang beliau lagi, comorbidity iaitu penyakit lain yang dihidapi pesakit selain daripada limfoma juga boleh mempengaruhi kesihatan pesakit secara amnya.
Mengenai jenis rawatan yang boleh diperoleh pesakit kanser limfoma ialah dengan kemoterapi, kaedah radiasi, targeted therapy iaitu penggunaan antibodi khusus (contohnya Rituximab, moonclonal ant-i CD20) untuk membunuh sel kanser limfoma, immunetherapy dan transplantasi sel stem.
Dr Nurasyikin menambah, rawatan integrative juga tidak dinafikan boleh membantu. Kesannya baik dari segi mental dan fizikal pesakit terutama sekali semasa sedang menjalani rawatan kemoterapi.
Jadi, buat pesakit kanser limfoma, berjinak-jinaklah dengan aktiviti seperti bersenam, menjalani terapi seni, bermeditasi, terapi muzik, akupuntur dan urutan. Semua itu boleh membantu!
Kanser bukan penamat riwayat
Masih berkisar soal rawatan, Pakar Hematologi Hospital Ampang, Dr Veena Selvaratnam sangat positif dengan mengatakan pesakit kanser limfoma mampu sembuh.
Berapa peratus peluang untuk kembali pada kehidupan normal selepas melalui keperitan penyakit limfoma? Jawabnya, bergantung kepada jenis limfoma.
"Bagaimanapun, secara keseluruhannya selepas semua rawatan, hampir 80 ke 90 peratus daripada jumlah pesakit ini akan survive dengan syarat jalani kemoterapi!
"Jangan lari daripada mendapatkan rawatan. Ini sebab ada pesakit yang datang dua tiga kali selepas itu 'lari'. Bila lari tanpa habiskan rawatan, lebih susah kita nak rawat sebab kanser itu akan jadi lebih 'pandai' dan agresif. Ia boleh jadi lebih susah untuk dirawat," katanya.
Berhubung rawatan yang dikatakan menimbulkan kesakitan yang teramat, Dr Veena bagaimanapun, menidakkannya.
Menurut pakar itu, lazimnya, rawatan berkenaan sendiri tidak menyakitkan. Namun, kesan sampingan akibat kemoterapi yang menyebabkan kesakitan.
"Seseorang itu boleh menjadi loya, mahu muntah, rambut gugur dan sebagainya. Biasanya rawatan memang tidak sakit kecuali pesakit dapat jangkitan kuman sebab sel darah putih 'jatuh'.
"Akibatnya ada yang memilih rawatan alternatif seperti produk yang membahayakan. Selalunya mereka yang memilih rawatan itu apabila tahu dia baharu sakit pada peringkat satu atau dua dan rasa ada peluang sembuh," katanya.
Malangnya banyak produk jualan langsung di luar sana yang tidak dibuktikan kesahihannya dari segi perubatan. Antaranya seperti seperti jus, 'air jampi' dan terapi ozon.
Lebih teruk, ada pula segelintir percaya penyakit dihidapi akibat buatan orang! Akibatnya mereka mengabaikan untuk mendapatkan rawatan sepatutnya.
"Nasihat saya, tak perlu buat rawatan alternatif sebab memang 'tak jalan'. Kalau tak yakin dengan doktor pertama, dapatkan doktor lain yang ada latar belakang perubatan yang sah.
"Bila lewatkan rawatan, tidak mustahil bengkak melarat. Pernah pesakit saya datang dalam keadaan bengkak limfoma sudah hampir sebesar kepalanya, manakala berat ketumbuhan itu pula seberat dalam 3 hingga 4kg!," katanya.
Jangan percaya mitos
Tidak menafikan pesakit termasuk kanser limfoma sering dimomokkan dengan fakta tidak masuk akal, Dr Veena sebaliknya mengingatkan supaya pesakit merujuk dengan doktor yang bertauliah.
"Ramai risau kesan ambil 'air tulang belakang' (sumsum) dan kemoterapi dikatakan nanti kononnya boleh beri kesan tak boleh berjalan. Selalunya itulah persepsi yang salah.
"Mereka takut 'kimo', takut rambut gugur, sedangkan boleh tumbuh balik. Yang sebetulnya, pesakit perlu tahu sepatutnya hasil rawatan awal lebih baik berbanding terlewat," katanya.
Beliau juga tidak menolak pendapat bahawa terdapat pesakit yang mampu menjalani hidup bersama kanser limfoma disebabkan selnya yang tidak aktif. Pun demikian, ada juga berdepan sel kanser yang sangat agresif.
Tanda-tanda awal kanser limfoma yang sangat lazim seperti hilang berat badan dan demam, gatal-gatal hanya dilihat sakit biasa dan tidak diendah.
"Sebab itu, bagi pesakit kanser limfoma yang agresif, boleh jadi sakitnya daripada tahap satu terus ke tahap empat dalam dua tiga bulan saja. Ada pula bertahun tanpa dapatkan rawatan langsung.
"Soal sama ada ia bahaya, kita boleh rawat atau tidak, atau perlu dirawat dengan ubat kemoterapi lebih kuat, itu bergantung kepada sel tersebut," katanya yang menekankan kepentingan merujuk kepada yang pakar.
Kawal emosi, tekanan rahsia bantu penyembuhan
Berdepan penyakit kanser bukanlah sesuatu yang mudah, namun bukan mustahil untuk kembali menjalani kehidupan seperti insan normal lain.
Mendalami bidang bioteknologi perubatan yang berkait penyakit kanser, Mohd Redza Abd Rahman memberitahu, antara bantuan penyembuhan yang boleh dilakukan adalah dengan mengawal emosi atau tekanan.
Menurut Mohd Redza, 35, kawalan perasaan (emosi) merupakan perkara paling signifikan bagi seseorang penghidap kanser.
"Mereka perlu sentiasa tenang. Rujuk kepada orang yang bertauliah untuk mengetahui apa yang patut dilakukan adalah penting bagi seseorang yang mahu merawat kanser.
"Itu juga cara untuk mengelak sebarang tekanan dan rasa sedih kerana jika tertekan dan berfikiran negatif, ia akan memburukkan lagi kesihatan seseorang pesakit," kata bekas pesakit kanser limfoma itu ketika berkongsi pengalamannya dalam wawancara.
Mohd Redza juga bekas pesakit kanser tahap empat turut menjalankan kerja kebajikan dengan menguar-uarkan tentang kesedaran penyakit kanser.
Dalam kempennya, beliau sentiasa mengingatkan peri pentingnya menjaga pemakanan.
"Bagi saya, elakkan makan makanan ringan, sebaliknya mengamalkan makanan seimbang di samping tidak lupa untuk bersenam," ujarnya.
Semestinya saranan yang dilontarkan Mohd Redza selari dengan Ustaz Mohd Hanafiah. Pendakwah terkenal itu yang pernah menghidapi penyakit kanser kini semakin sihat dan sudah dua tahun bebas daripada menjalani rawatan kemoterapi.
"Ketika diberitahu saya kanser, saya sebut, alhamdulillah. Saya ambil pendekatan bersyukur kerana saya sedar lebih besar impaknya daripada bersabar.
"Bersabar itu ada batasnya. Bertahan, lama mana boleh bertahan? Tapi bersyukur, bersangka baik dengan ALLAH, DIA akan sentiasa ikut sangkaan hambanya.
Barangsiapa bersyukur dengan ALLAH, nikmatnya akan bertambah. Justeru, saya ambil jalan mudah dengan bersyukur. Insya-ALLAH Yang Maha Esa pasti akan bagi ketenangan," katanya.
Kepada para pesakit kanser yang lain, beliau menasihatkan agar mereka tidak buruk sangka kepada-NYA.
Ajal maut di tangan Tuhan, namun ALLAH memerintahkan jangan berputus asa. Bersangka baik merupakan rahsia kepada 'raja' segala pemikiran positif, kata Ustaz Mohd Hanafiah.
ANEKDOT
TANDA-TANDA penyakit limfoma:
1) Bengkak kelenjar limfa yang tidak sakit atau bengkak pada hati dan limpa.
2) Demam berpanjangan.
3) Hilang selera makan.
4) Penurunan berat badan yang mendadak.
5) Rasa keletihan dan tidak bertenaga kerana kekurangan darah dan selera makan.
6) Ruam kulit dan kegatalan (boleh berlaku dalam 25 peratus kes, selalunya pada bahagian kaki)
7) Tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pembengkakan kelenjar limfa pada bahagian tertentu seperti batuk dan sesak nafas (paru-paru), berak berdarah (usus), pening dan sawan (otak) atau kelumpuhan (sistem saraf).
Sumber: www.myhealth.gov.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!