'Komik propaganda cubaan seleweng fakta sejarah Tanah Melayu'

Dewan Muslimat Pas Selangor bersama Wanita UMNO Selangor dan NGO tampil bagi membuat laporan polis berhubung penyebaran komik tersebut.
Dewan Muslimat Pas Selangor bersama Wanita UMNO Selangor dan NGO tampil bagi membuat laporan polis berhubung penyebaran komik tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Penulis komik berunsur propaganda 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' cuba untuk menyeleweng fakta mengenai sejarah tanah Melayu untuk didoktrin kepada generasi Y dan Z di negara ini.

Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, penyebaran komik tersebut juga dilihat amat bahaya berikutan pihak terlibat cuba untuk menanam ideologi komunis serta sentimen perkauman yang dapat menimbulkan masalah pada masa hadapan.

Beliau berkata, ini kerana terdapat banyak kandungan di dalam komik itu menimbulkan persoalan dan turut bercanggah dengan sejarah sebenar tanah Melayu dalam mencapai kemerdekaan.

"Generasi Y dan Z tidak berada di zaman kebangkitan menuju kemerdekaan dan mereka cuba untuk menyeleweng fakta sebenar mengenai perkara itu di samping menimbulkan ketegangan melalui sentimen perkauman," katanya.

Wan Hasrina berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung penyebaran komik tersebut di beberapa buah sekolah sebelum ini.

Hadir sama sewaktu laporan tersebut dibuat adalah Wanita UMNO Selangor bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang turut mengecam tindakan penyebaran komik terbabit.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO Selangor, Suhaila M Zain berkata, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu memandang serius mengenai penyebaran komik ini di sekolah-sekolah yang merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Suhaila berkata, Wanita UMNO Selangor membantah sekeras-kerasnya tindakan penyebaran komik itu yang dapat mempengaruhi minda anak-anak muda dengan fakta tidak benar.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kita tahu komik ini hanya diedarkan dalam bahasa Cina dan bahasa Melayu sahaja. Bagaimanapun terdapat juga keluaran bahasa Inggeris.

"Pada kami ini amat jijik kerana selama ini kita tak pernah burukkan bangsa lain tapi dalam komik ini, saya dapat lihat mereka cuba buruk-burukkan pemimpin Melayu," katanya.

Sebelum ini, difahamkan polis juga telah merekod keterangan penulis komik berkenaan di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung penerbitannya yang didakwa sebagai satu propaganda.

ARTIKEL BERKAITAN Maszlee gesa pimpinan DAP disiplinkan ahli

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!