Polis akan terus pantau Yazid
IPOH - Polis akan terus memantau perkembangan anggota militan rakyat tempatan, Yazid Sufaat meskipun individu itu dibebaskan selepas menjalani tahanan bulan depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan terus berhubung dan memantau ketat perkembangan aktiviti lelaki itu agar kehadirannya tidak lagi mengancam keselamatan negara dan orang ramai.
"Kita tidak boleh mengambil tindakan menyekat kebebasan kerana dalam proses undang-undang, apabila telah menjalani hukuman dan tiba waktu untuk dibebaskan maka dia perlu dibebaskan.
"Tetapi polis tidak akan putus hubungan dengannya, kita akan lihat perkembangan dan teruskan usaha pemulihan apabila dibebaskan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.
Abdul Hamid berkata, pihaknya memahami kebimbangan orang ramai dengan keputusan pembebasan Yazid yang dikatakan mempunyai pelbagai kemampuan dan pernah terlibat dalam aktiviti keganasan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, polis tidak melakukan penahanan semula hanya berdasarkan tanggapan dan cerita yang disampaikan.
"Kecualilah apabila dibebaskan, dia melakukan sesuatu yang menyalahi seperti memilih untuk kembali kepada pegangan asal, kita tidak dapat mengelak daripada mengambil tindakan sekali lagi ke atasnya," katanya.
Yazid, 55, ahli biokimia yang mendapat latihan di Amerika Syarikat (AS) kini ditahan di penjara Simpang Renggam, Kluang, selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA).
Dia yang pernah didakwa mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 September 2001 di AS mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan depan.
Mengulas mengenai permohonan 'Habeas Corpus' (Penahanan Salah) yang difailkan lima tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) yang mempunyai kaitan dengan Kumpulan Pengganas Tamil Eelam (LTTE), Abdul Hamid berkata, perkara itu terkandung dalam hak perlembagaan dan undang-undang.
Katanya, sejak peringkat awal lagi, polis telah menyegerakan akses khidmat peguam kepada semua tahanan bagi membolehkan mereka mendapatkan keadilan yang wajar sekiranya tidak berpuas hati dengan penahanan itu.
"Itu kehendak undang-undang, tambahan pula mereka ada hak apabila difailkan. Kita dengarlah hujah-hujah peguam di mahkamah nanti dan polis akan bentangkan alasan-alasan mengapa mereka perlu ditangkap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!