'Cleopatra wanita tulen, dia ibu anak-anak saya'
SHAH ALAM - Seorang pengguna Facebook tampil menjelaskan kontroversi 'Cleopatra' yang dikatakan transgender dan dikaitkan sebagai pembantu peribadi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pengguna alam maya terbabit yang menggunakan nama Nasir Yaacob di laman sosial itu memaklumkan bahawa individu tersebut seorang wanita dan mendakwa bekas isterinya.
Dalam dua hantaran dimuat naik di Facebook, Nasir menulis, "Ya, betul. Itu bekas isteri sayalah yang tengah tular itu. Dia perempuan tulen, bukannya transgender. Berhenti fitnah dia dan biarlah dia dengan dunia glamour dia."
Kira-kira sejam kemudian, dalam hantaran berasingan, lelaki berkenaan menekankan sekali lagi status jantina sebenar individu menggunakan nama Cleopatra_x3 di laman Instagram.
"Perempuan yang tular dengan Syed Saddiq itu bekas isteri saya. Dia perempuan tulen bukan transgender. Dia ibu kepada anak-anak saya. Jadi, tolonglah berhenti fitnah dia," luah Nasir di laman Facebook.
Kenyataan yang dimuat naik oleh Nasir tular di media sosial dan rata-rata warganet menerima kenyataan tersebut di samping mengharapkan agar lelaki terbabit yang dipercayai seorang guru bersabar dengan kejadian menimpa dirinya.
Muhammad Athmir menulis, "Harap bersabar cikgu. Mulut orang memang tak boleh nak tutup. Abaikan sahaja."
"Besarnya ujian yang dihadapi oleh tuan sehingga orang menuduh bekas isteri tuan merupakan seorang transgender. Bersabar tuan, pasti yang berlaku ini ada hikmah yang ALLAH telah tetapkan," kata Azfar Mansor di Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!