Jabatan Pertanian Pahang lancar Instagram IAT Pahang
MARAN - Jabatan Pertanian Pahang mengorak langkah seiring dengan perkembangan era digital untuk membantu usahawan industri asas tani (IAT) di negeri ini menerusi pelancaran Instagram IAT Pahang semalam.
Langkah tersebut menjadi platform buat jabatan itu dalam membantu usahawan IAT terlibat memasarkan dan mempromosi produk masing-masing.
Timbalan Pengarahnya, Nor Edasurati Ibrahim berkata, buat masa ini Pahang adalah negeri pertama mewujudkan Instagram khusus buat usahawan terlibat.
Menurutnya, langkah tersebut selari dengan perkembangan era digital yang menyaksikan masyarakat kini bertumpu dengan teknologi dan pelbagai aplikasi di laman sosial.
"Ada beberapa kriteria ditetapkan kepada usahawan untuk dimasukkan dalam Instagram tersebut seperti perkembangan produk," katanya.
Nor Edasurati berkata, buat masa ini terdapat 686 usahawan IAT yang berdaftar dengan jabatan ini dan sebanyak RM84.5 juta hasil pendapatan keseluruhan dicatatkan tahun lalu dengan secara purata meraih kira-kira RM6,000 sebulan setiap seorang.
"Tahun ini pula sehingga September lalu, kira-kira RM45 juta dicatatkan dan kita menyasarkan peningkatan 10 peratus hasil pendapatan berbanding tahun lalu," katanya lagi.
Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar sempena Seminar Cabaran Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Era Digital di Dewan Besar Akademi Usahawan Tani,Kampung Awah di sini semalam.
Majlis perasmian disempurnakan Exco Jawatankuasa Pertanian, IAT dan Bioteknologi negeri,Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.
Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak.
Lebih 100 peserta menyertai seminar tersebut yang julung kalinya dianjurkan pada tahun ini.
Sementara itu, Mohd Soffi berkata, kerajaan negeri komited dalam membantu usahawan terlibat dengan pelbagai program dan bantuan yang disalurkan kepada mereka.
Katanya, penganjuran pelbagai program seperti seminar tersebut dialu-alukan dalam membantu usahawan menangani cabaran pemasaran secara digital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!