Bekas CEO IDR didakwa 58 pertuduhan pecah amanah
IPOH - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 58 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang melebihi RM150,000.
Tertuduh, Dr Mazalan Kamis, 56, yang ditemani ahli keluarga bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif IDR ketika itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu dana IDR Berhad telah melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran sejumlah RM153,871.82 ke akaun Kinta Riverfront Hotel & Suites Sdn Bhd melalui cek bank.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di antara 10 Januari 2014 sehingga 30 Oktober 2018 di Pejabat Institut Darul Ridzuan Berhad di sini membabitkan bayaran sewa apartmen dan bil utiliti kepada akaun Kinta Riverfront Hotel & Suites Sdn Bhd sedangkan bayaran elaun sewa rumah telah dibayar ke akaunnya oleh IDR.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, Mohamad Nazreen Zabarudin dan Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Qadir Saqti Aros.
Terdahulu pihak pendakwaan yang diketuai Fadhli menawarkan ikat jamin RM100,000 bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh dengan alasan jenayah yang dilakukan adalah serius.
Bagaimanapun Abdul Qadir memohon mahkamah mengenakan bon jaminan diri tanpa sebarang wang jaminan kepada anak guamnya dengan alasan tertuduh tidak lagi bekerja setelah dilucutkan daripada jawatan itu sejak tujuh bulan lalu.
Menurutnya, Mazalan turut berdepan masalah kewangan kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinan anak dan baru pulang daripada tanah suci.
"Tertuduh juga berseorangan menanggung keluarga. Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh memberikan komitmen untuk datang ke Ipoh dari Kuala Lumpur setiap kali dipanggil.
"Jadi tidak ada alasan untuk beliau hadir ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan untuk dirinya," katanya kepada mahkamah.
Hakim Azman Abu Hassan kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 26 November depan untuk pengurusan kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!