PIPOC 2019 bermula 19 November depan
KUALA LUMPUR - Kongres antarabangsa industri sawit terbesar anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 akan diadakan di ibu negara pada 19 hingga 21 November depan.
Bertemakan Balancing Sustainability Pillars, PIPOC 2019 akan menumpukan aspek penting pengeluaran minyak kelapa sawit iaitu planet, orang dan keuntungan dengan tumpuan terhadap penyelidikan terkini serta amalan mampan dalam industri kelapa sawit global.
PIPOC 2019 akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyampaikan amanatnya pada majlis itu.
Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, PIPOC kali ini lebih informatif, menarik minat dan memberikan inspirasi.
"Sebagai persidangan kelapa sawit terbesar dunia, PIPOC menyediakan platform interaksi dan perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek industri, daripada perkembangan dasar terkini kepada cabaran dan bagaimana untuk ke hadapan.
"Peserta dapat peluang berharga untuk belajar daripada pakar, berkongsi pengetahuan dan pengalaman, mengembangkan rangkaian serta meneroka kemajuan dalam industri," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebagai tambahan kepada lima persidangan yang akan diadakan serentak, aktiviti-aktiviti menarik termasuk lawatan teknikal dan kejohanan golf turut diadakan sepanjang PIPOC 2019 berlangsung.
Katanya, pameran perdagangan oleh lebih 400 pempamer akan memaparkan kemajuan industri baharu, teknologi terkini, peralatan dan produk.
Untuk maklumat lanjut mengenai PIPOC 2019, sila layari www.pipoc.mpob.gov.my dan menghubungi Rusnani Abd Majid di talian 03-87694567 atau emel kepada rusnani@mpob.gov.my atau Nurul Aishah Musa di talian 03-87694568 atau menerusi emel ke nurul.aishah.musa@mpob.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!