Program U.n.i Klinik bantu doktor jadi usahawan: Rina

Rina
Rina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program U.n.i Klinik yang diperkenalkan melalui Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) Majlis Amanah Rakyat (Mara) sejak awal tahun ini telah berjaya membantu doktor menyertai bidang keusahawanan dengan 18 buah klinik telah dibuka.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program itu juga menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat melalui skim Peduli Kesihatan atau PeKa B40.

“U.n.i Klinik objektifnya untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan profesional, apabila saya turun padang berjumpa dengan doktor-doktor ini, rata-rata memaklumkan mereka tidak pernah diajar untuk menjadi usahawan dan membuka klinik sebelum ini.

“Bila mereka menjadi usahawan, membuka klinik sendiri akhirnya ia meningkatkan pendapatan mereka dan juga dapat membantu keluarga di luar bandar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai sama ada U.n.i Klinik perlu diutamakan di lokasi luar bandar supaya matlamat penubuhannya tidak tersasar.

Dalam pada itu, Rina berkata, kementeriannya merancang membuka sebanyak 20 lagi U.n.i Klinik pada masa akan datang.

Katanya, sejak program itu dilaksanakan pada Januari lepas, sebanyak 18 klinik telah diluluskan dengan pembiayaan berjumlah RM5.4 juta untuk dijadikan modal bagi kumpulan pertama memulakan perniagaan mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!