Harga rumah untuk warga asing di NS diturunkan: Kok Seong
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mempertimbangkan untuk menurunkan harga siling rumah bagi pembeli warga asing di negeri itu dalam usaha meningkatkan pembelian rumah yang tidak terjual.
Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, penurunan harga tersebut bagi memastikan negeri ini lebih kompetitif berbanding negeri jiran yang menawarkan harga lebih murah.
Katanya, sebelum ini harga siling rumah untuk warga asing dijual dengan harga RM1 juta, tetapi sejak awal tahun lalu kerajaan negeri bersetuju menaikkan harga rumah kepada milikan asing bernilai RM2 juta.
"Bagaimanapun kita mendapat banyak rungutan daripada pemaju dan juga pelabur asing yang datang ke negeri ini, memaklumkan harga siling rumah yang dikenakan terlalu tinggi, malah ada pemaju memberitahu mereka terpaksa menanggung kerugian apabila banyak rumah mereka tidak terjual.
"Memandangkan situasi ini, Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk mengkaji semula harga siling rumah untuk milikan asing di mana antara harga yang dicadangkan antara RM1 juta atau kurang daripada RM1 juta.
"Tetapi harga muktamad belum diputuskan lagi dan kita jangkakan hujung tahun ini akan ada pengumuman harga baru siling rumah untuk pembeli asing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Pengguna dan Alam Sekitar, S Veerapan dan Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar.
Tambahnya, harga siling rumah untuk milikan asing di Melaka adalah sebanyak RM500,000 untuk rumah berstrata, RM1juta rumah kediaman bertanah manakala di Selangor RM1 juta untuk kediaman bertanah.
Dalam pada itu Kok Seong memaklumkan walaupun harga siling rumah untuk milikan asing diturunkan, projek perumahan mampu milik untuk masyarakat tempatan tetap diteruskan.
Katanya, melalui Dasar Perumahan Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan telah mewajibkan semua pemaju untuk menyediakan 50 peratus rumah mampu milik bagi setiap projek perumahan yang baru, manakala 30 peratus bagi projek keluasan kurang daripada 4 hektar.
"Masyarakat tidak perlu bimbang, keperluan rumah mampu milik di negeri ini akan diteruskan seperti biasa bagi memenuhi permintaan rakyat, warga asing tidak boleh membeli rumah mampu milik, jadi kita tidak perlu risau," katanya.
Katanya, harga rumah mampu milik bermula dari RM80,000 hingga RM 450,000 mengikut kategori rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!