Projek MRT Corp bukan punca banjir kilat

MRT Corp
MRT Corp
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjelaskan kejadian banjir kilat dan mendapan tanah di Flat PKNS Kampung Baru baru-baru ini bukan disebabkan projek yang sedang dilaksanakan oleh syarikat itu.

MRT Corp dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya ingin memperbetulkan fakta susulan laporan media mengaitkan syarikatnya menjadi punca banjir kilat dan mendapan tanah di Flat PKNS Kampung Baru.

Kenyataan menyebut, MRT Corp tidak menjalankan sebarang kerja pembinaan tiang di stesen Kampung Baru Utara seperti yang dilaporkan.

Katanya, insiden banjir pada 1 Oktober dan 18 Oktober yang berlaku di lencongan baru Sungai Bunus bersebelahan Flat PKNS juga bukan di bawah seliaan MRT Corp dan kontraktor dilantik.

"Lencongan baru Sungai Bunus tersebut adalah projek tebatan banjir yang dimulakan pada tahun 2013 oleh kontraktor di bawah penyeliaan pihak agensi kerajaan yang berkaitan.

"Lencongan sungai baru itu berada di luar kawasan kerja stesen MRT telah dibuka pada 22 September 2019 oleh pihak agensi kerajaan yang berkenaan.

"MRT telah menerima kebenaran untuk menutup bahagian lama Sungai Bunus yang merentasi ke kotak Stesen MRT Kampung Baru Utara untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan diteruskan selepas laluan baharu sungai dibuka," memetik kenyataan MRT Corp hari ini.

MRT menjemput Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan wakil agensi kerajaan terlibat untuk lawatan ke tapak bagi membolehkan sesi penerangan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami juga ingin melahirkan rasa simpati kepada penghuni-penghuni Flat PKNS yang menjadi mangsa kejadian banjir," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 15 keluarga membabitkan 62 orang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Jalan Hamzah, Kuala Lumpur selepas berlaku tanah mendap di kediaman mereka di Rumah Pangsa PKNS Jalan Tun Razak pada 18 Oktober lalu.

Khalid dalam satu laporan memaklumkan pembinaan projek berhampiran perumahan tersebut menjadi punca berlakunya kejadian tersebut.

Susulan itu, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran mengurangkan kesan banjir kilat dan mendapan dengan meletakkan pam air serta pemantauan di lokasi tapak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!