MRSM Imtiaz YT Ketengah ditutup
KUALA TERENGGANU – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah akan beroperasi sehingga 31 Disember depan dan akan ditutup serta diganti dengan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang akan beroperasi pada 1 Januari 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, penutupan sekolah aliran berpendidikan menengah yang dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu mengambil kira tidak membebankan mana-mana pihak.
Katanya, keputusan itu juga diambil selepas perbincangan khas telah diadakan berhubung status operasi MRSM YT Ketengah yang turut dihadiri wakil Mara iaitu Timbalan Pengarah Pendidikan Mara, Datuk Mohamed Roseli Dol.
“Hasil perbincangan itu, satu kertas laporan telah dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah YT di mana telah mengambil ketetapan agar operasi MRSM YT Ketengah ditutup supaya tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Satiful Bahri juga menolak dakwaan bahawa penutupan MRSM-IMTIAZ YT Ketengah itu merupakan arahan daripada kerajaan negeri sebagaimana tular di media sosial.
“Isu itu tidak timbul kerana ia adalah keputusan bersama Mara. Tidak timbul isu pemberhentian pelajar kerana pelajar sedia ada akan diserapkan ke MRSM sedia ada.
“Mara juga telah luluskan pembinaan MRSM baharu di Dungun yang kini dalam proses pembinaan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, berdasarkan kerjasama antara Kerajaan Terengganu dan Mara yang dimeterai sebelum ini, pihak Mara menghadapi kekangan kewangan untuk memastikan kemudahan yang disediakan di MRSM-IMTIAZ YT Ketengah setaraf dengan MRSM yang lain.
Katanya, pihak Mara meminta YT membantu menyediakan kemudahan berkenaan namun ia bercanggah dengan keperluan tanggungjawab sebagaimana terkandung dalam perjanjian persefahaman yang boleh mendatangkan kesan konflik dan politik berpanjangan pada masa akan datang.
“Berdasarkan perjanjian asal, kerajaan negeri ketika itu hanya bertanggungjawab menyediakan tapak dan fizikal bangunan serta menyelenggarakan dan membaiki kerosakan struktur utama bangunan sahaja.
“Mara pula bertanggungjawab ke atas kos operasi termasuk pengambilan guru-guru dan kakitangan pentadbiran serta mengurus pengambilan pelajar dengan peruntukan 60 peratus dalam kalangan anak Terengganu.
“Bagaimanapun sejak beroperasi pada 1 Januari 2016 hanya 7 peratus atau 14 orang sahaja anak Terengganu yang belajar di MRSM berkenaan sedangkan dalam perjanjian memperuntukkan kuota anak Terengganu sebanyak 60 peratus,” katanya.
Selain itu katanya, ketiadaan program hafazan menyebabkan kurang sambutan ibu bapa sekitar Terengganu terhadap pusat pendidikan itu.
“MARA tidak dapat menjalankan program hafazan kerana MRSM Ulul Albab Besut telah menjalankan program berkenaan dan ia bercanggah dengan dasar Mara yang memfokuskan MRSM-IMTIAZ YT Ke tengah kepada Program Keusahawanan Dan Perniagaan.
“Ia menjadi salah satu faktor kurangnya sambutan terutama dalam kalangan anak Terengganu terhadap program yang ditawarkan di situ,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!