Ahli Parlimen ponteng tak serius isu rakyat: Dr Awang Azman
SHAH ALAM - Ahli Parlimen termasuk timbalan menteri dan menteri yang ponteng persidangan Dewan Rakyat mencerminkan mereka tidak serius terhadap isu rakyat, kata penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Menurutnya, tindakan sedemikian satu pengkhianatan kepada amanah rakyat yang memilih mereka untuk ke Parlimen sama ada menjawab isu semasa atau bertanyakan isu berkaitan masalah rakyat.
"Sekiranya ketidakhadiran (ahli Parlimen ini) berterusan perlu ada surat amaran, tunjuk sebab dikemukakan. Ini seolah-olah (menunjukkan mereka) tidak berminat dengan tugas sebenar wakil rakyat," katanya hari ini.
Beliau mengulas kegagalan ahli Parlimen menghadiri persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan kukuh yang bukan sahaja mengganggu perjalanan mesyuarat malah menjejaskan proses kedaulatan undang-undang.
Isu Dewan Rakyat 'kosong' ini juga bukan baharu berlaku sebaliknya pernah ditegur Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Julai tahun lalu yang tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri.
Mengulas lanjut Dr Awang Azman berkata, ahli Parlimen kerap ponteng perlu disenarai hitam dan dipertimbangkan untuk pencalonan semula pada pilihan raya akan datang.
"Hal ini kerana mereka yang ponteng memburukkan imej parti mereka sendiri. Sekiranya tidak terpilih, barulah mereka sedar dan mohon ihsan undi rakyat.
"Ketika itu barulah mereka sedar bahawa jawatan wakil rakyat ialah amanah besar dan bukan untuk fokus perkara lain," katanya kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!