Kerajaan 'tipu' jumlah defisit negara, kata Najib
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memungkiri janji apabila jumlah defisit negara telah melebihi daripada daripada jumlah yang telah dijanjikan seperti yang termaktub dalam Bajet 2019.
Najib yang meluahkan perkara tersebut di laman Facebooknya berkata, situasi ini amat serius dan perlu diperbetulkan secepat mungkin agar penarafan kredit negara tidak diturunkan taraf dan ekonomi kita tidak bertambah teruk yang sebelum ini kerajaan berjanji defisit untuk tahun 2019 adalah 3.4 peratus.
Menurutnya, defisit tersebut bersamaan dengan penambahan hutang bersih negara sebanyak RM52.4 bilion seperti yang dijanjikan dalam kenyataan media yang dikeluarkan bulan lepas yang sudah pun jauh lebih besar dari defisit 2 peratus dalam rancangan kerajaan BN dahulu.
"Tetapi mengikut data-data terbaru yang dikeluarkan oleh BNM, hutang bersih baru setakat 23 Oktober 2019 ini adalah RM66.4 bilion., bersamaan dengan jumlah hutang langsung negara pada RM807.5 bilion setakat ini.
"Ini bermakna kerajaan PH telah terlebih belanja atau terlebih pinjam sebanyak RM14 bilion (RM66.4b tolak RM52.4b) setakat ini.Ini adalah bersamaan dengan defisit 4.3 peratus iaitu jauh berbeza dengan 3.4 peratus seperti dalam bajet 2019," tulisnya.
Bekas Presiden UMNO itu berkata, kerajaan PH perlu menjelaskan hutang lama sebanyak RM14 bilion pada bulan November dan Disember tahun 2019 agar defisit yang dijanji itu dapat ditunaikan.
"Itupun jika kerajaan PH tidak menambah satu sen lagi kepada hutang negara pada dua bulan terakhir tahun ini. Dari mana akan datangnya RM14 bilion ini? Lagi banyak dijarah dari Petronas atau dari hasil penjualan aset negara?
"Tak kira dari mana jua pun, situasi ini perlu diperbetulkan dalam dua bulan yang akan datang.Jika tidak, defisit negara kita akan jauh lari dari sasaran dan sudah tentu penarafan kredit kita akan diturunkan serta keyakinan pelabur asing terhadap kita bertambah terhakis. Menteri Kewangan sedar atau tidak?," katanya.
Perkongsian posting Najib kira-kira jam 4 petang tadi kini tular di media sosial dan rata-rata netizen menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib.
Rohana Othman meluahkan memberitahu "Takut bila baca ini datuk, mana hala tuju negara selepas ini, sama takutnya sekarang ini banyak rakyat yang kurang ajar dan besar kepala macam Malaysia ini mereka dah pegang sepenuhnya.
"Keadaan akan bertambah buruk jika keadaan fiskal terus merosot dan penarafan kredit negara diturunkan. Pasaran saham dan mawa tang akan terus merudum jika ini berlaku," luah Andy Chuah di Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!