Lagu 'Baby Shark' berkumandang ketika protes di Lubnan
BEIRUT - Tunjuk perasaan antikerajaan di Lubnan bertukar wajah apabila peserta protes menyanyikan lagi popular kanak-kanak 'Baby Shark' semasa perhimpunan di selatan Beirut hujung minggu lalu.
Insiden mencuit hati itu dirakam Eliane Jabbour ketika dia dan anak kecilnya terperangkap dalam kesesakan trafik di daerah Baabda.
Dalam rakaman itu, beberapa penunjuk perasaan cuba menenangkan anak lelakinya yang berusia 15 kerana ketakutan.
Rakaman itu menjadi tular selepas ia dimuat naik ke media sosial dan sejak beberapa hari lalu fenomena Baby Shark melanda peserta protes di seluruh negara.
Beberapa video dimuat naik ke media sosial memaparkan penunjuk perasaan menyanyikan Baby Shark secara spontan ketika berhimpun di lokasi strategik sekitar ibu kota Beirut.
Lagu Baby Shark ketika ini ditonton lebih 3.7 bilion di Youtube.
Protes antikerajaan di Lubnan tercetus sejak Khamis lalu selepas puluhan ribu penduduk berarak bagi menuntut penyingkiran tokoh politik termasuk Perdana Menteri, Saad Al Hariri yang didakwa menjadi punca keruntuhan ekonomi negara itu.
Selain Hariri, peserta protes turut mendesak Presiden, Michel Aoun dan Speaker Parlimen, Nabih Berri supaya meletakkan jawatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!