Sayangilah mental kita

A
A
A

PERNAH tak anda alami satu situasi sangat malas, malah sangat benci untuk pergi kerja, tidak suka berjumpa orang, otak macam tidak dapat berfungsi dengan baik, rasa rendah diri, memilih untuk menyendiri, malas nak bangun dari katil dan tidak berselera untuk makan?

Kenapa semua itu berlaku pada kita sedangkan kita tidak begitu sebelumnya? Kenapa kita tenggelam dalam kemelut dalaman? Rasa sedih yang memanjang dalam diri cukup menyiksakan, betul kan?

Jika kita alami perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, bermakna kita sedang alami kemurungan atau depression.

Bila saya lihat banyaknya kes-kes yang berkaitan dengan kesihatan mental baik dalam media massa atau orang di sekeliling saya, saya teringat pada suasana dan realiti hidup zaman saya remaja dulu iaitu sekitar tahun 80an dan sebelumnya.

Biarpun pada masa itu belum ada lagi gajet-gajet canggih atau pelbagai kemudahan teknologi moden, tapi hidup di zaman itu sangat tenang dan damai berbanding zaman sekarang.

Teringat zaman muda-muda dulu, saya suka membaca buku cerita tentang guru. Tiada kisah guru tertekan malah mereka adalah hero masyarakat yang sangat dipandang tinggi dan dihormati.

Ya, di zaman itu guru sangat seronok dengan kerjanya dalam mendidik anak bangsa.

Kenapa agaknya? Saya yakin ia berpunca daripada tiada tekanan dalam hidup seorang guru.

Artikel Berkaitan:

Jika adapun, tekanan kerja itu hanyalah pada tahap yang masih boleh diterima. Tugas mereka pergi kelas, mengajar dan melakukan apa jua aktiviti berkaitan demi anak bangsa.

Tetapi kenapa pada hari ini kita dengar ramai guru alami tekanan perasaan?

Kenapa ramai pelajar alami kemurungan. Kenapa ramai orang mengalami masalah kesihatan mental baik secara sedar atau tanpa sedar?

Baru-baru ini, Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Lee Lam Thye meminta ahli parlimen untuk memberi perhatian serius terhadap isu-isu kesihatan mental di negara ini.

Kenapa perkara ini berbangkit dalam Parlimen? Ini menunjukkan keseriusan tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dalam akhbar Berita Harian bertarikh 12 Januari 2019, Profesor Dr Mansor Talib ada menyatakan bahawa “Beberapa kajian komprehensif seperti Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) dilaksanakan untuk meninjau fenomena kesihatan mental rakyat, khusus kepada segmen populasi tertentu.

Data NHMS 2015 menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak pada kadar 12.1 peratus, diikuti orang dewasa 29.2 peratus dan warga tua berusia 60 tahun ke atas pula 24 peratus.

Dapatan kajian sama pada 2012 menunjukkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun (berpandukan data 25,507 pelajar sekolah) mengalami fenomena kesihatan mental seperti kemurungan 17.7 peratus, keresahan (39.5 peratus) dan tekanan (10.1 peratus).

Aspek tingkah laku bunuh diri pula menunjukkan 7.9 peratus golongan sama mempunyai idea, 6.4 peratus mempunyai rancangan dan 6.8 peratus lagi sudah membuat percubaan bunuh diri.”

Melihat kepada angka di atas, ia sangat menakutkan.

Corak dan gaya hidup yang sangat berbeza pada zaman kini mungkin boleh dikatakan salah satu faktor meningkatnya masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ditambah pula dengan era teknologi global tanpa sempadan.

Saya sangat bersetuju dengan pendapat Profesor Dr Mansor yang mengatakan bahawa “kesejahteraan mental memerlukan rakyat mempunyai kemahiran daya tahan untuk bangun kembali.

Ia bersifat dalaman seperti sikap, personaliti, lokus kawalan atau faktor luaran dalam persekitaran seperti sokongan sosial keluarga dan program pencegahan di pelbagai agensi.”

Untuk bangun kembali perlukan kekuatan dalaman. Itu sangat benar sekali.

Saya adalah antara yang pernah alami kemurungan.

Sangat seksa berada dalam alam kemurungan sebenarnya.

Hanya orang yang pernah alaminya dan berjaya bangkit kembali dapat memahami keadaan jiwa mereka yang alami kemurungan. Pengalaman mengajar kita erti kehidupan.

Oleh itu, pada pandangan saya, untuk mengembalikan semula kesihatan mental kita, kita perlukan kekuatan dalaman.

Sebagai orang Islam, ALLAH telah tunjuk kepada kita cara untuk membina kekuatan dalaman.

Oleh kerana ia adalah vitamin yang paling mujarab untuk kekuatan dalaman, maka ALLAH telah mewajibkannya kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya pada suatu tempoh masa.

Apa dia? Tidak lain dan tidak bukan ialah solat malam atau tahajjud atau qiyamullail.

ALLAH itu pencipta kita. Dia lebih tahu apa yang baik dan tidak baik untuk makhluk ciptaanNya.

Disyariatkan solat tahajjud untuk kita. Saya masih ingat lagi, bagaimana saya memaksa diri saya bangun dalam keadaan mata tertutup dan sangat sukar sekali sebenarnya.

Dalam diri penuh dengan fikiran negatif dan kesedihan yang tidak bertepi.

Tetapi ALLAH akan bantu kita jika jauh dalam sudut hati kita ada kehendak; kehendak untuk bangkit dari kesedihan, kehendak untuk bangkit dari kemurungan dan kehendak untuk kembalikan kesihatan mental kita.

Diri kita adalah daya tolak utama untuk kita bangkit. Dan kebangkitan ini lebih mudah dan cepat dengan sokongan sahabat, keluarga dan orang di sekeliling kita termasuk doktor yang merawat kita.

Adalah diharapkan strategi kesihatan mental yang terkandung dalam Polisi Kesihatan Mental Kebangsaan (2012) dan Kerangka Kesihatan Mental Kebangsaan (2011) berkesan untuk mengembalikan kesihatan mental rakyat Malaysia.

Namun seperti yang telah saya sebutkan di atas, kekuatan dalam diri itulah sebenarnya yang sangat-sangat membantu untuk mereka yang hadapi kemurungan untuk bangkit kembali.

Jika tiada kekuatan dalaman, usaha-usaha luaran baik daripada kalangan keluarga, sahabat atau pihak hospital sekalipun akan menjadi agak sukar untuk memberi kesan yang cepat kepada mereka.

Akhir kalam, jika kita melihat sahabat, anak dan saudara mara kita mengalami atau menunjukkan tanda-tanda seperti yang saya sebut di atas, bersegeralah bantu mereka dan bawalah mereka berjumpa doktor seberapa segera sebelum mereka mengalami keadaan yang lebih teruk.

Sayangilah mental kita. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!