Industri pertahanan perlu proaktif, letak sasaran sebagai pengeksport

Mohamad - Foto fail
Mohamad - Foto fail
A
A
A

KAJANG - Industri pertahanan tempatan perlu lebih proaktif dengan sentiasa mengikut kehendak pasaran dan tidak hanya menumpukan produk atau perkhidmatan kepada Kerajaan Malaysia sahaja, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, peserta industri perlu turut meletakkan sasaran menjadi pengeksport di peringkat rantau atau global di samping menghasilkan produk dwiguna untuk pasaran komersial.

“Industri pertahanan mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi sesebuah negara dengan mengambil kira skop yang luas meliputi bidang aeroangkasa, maritim dan persenjataan.

"Banyak peluang pekerjaan yang dapat dimanfaatkan selain membawa lebih banyak kepakaran dalam industri,” katanya semasa berucap merasmikan Program Hari Pemadanan Perniagaan 2019 Kementerian Pertahanan di Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, kementerian mengalu-alukan penglibatan pemain industri dalam menjalin kerjasama ke arah pengembangan projek-projek inovasi.

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama erat perlu wujud antara pencipta inovasi dan pihak industri untuk memenuhi keperluan pengguna.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu mencari formula sesuai untuk terus membangunkan industri pertahanan yang kukuh. Pembangunan industri pertahanan ini juga perlu berteraskan perkembangan teknologi dan evolusinya,” katanya.

Mohamad berkata, penyelidikan dan pembangunan tidak berkesan sekiranya penggunaan teknologi terhad dan tidak menepati keperluan pengguna dan pasaran. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!