Permohonan pendaftaran cap dagangan dijangka meningkat: KPDNHEP

Saifuddin Nasution - Foto fail
Saifuddin Nasution - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan peningkatan sehingga 4,000 permohonan pendaftaran cap dagangan daripada peniaga dan usahawan selepas Akta Cap Dagangan 2019 dikuatkuasakan Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menjangkakan pertambahan pendaftaran susulan penguatkuasaan akta yang akan mendorong lebih ramai usahawan tempatan melindungi cap dagangan perniagaan mereka.

“Buat masa ini akta berkenaan masih dalam proses pewartaan oleh pejabat Peguam Negara.

MyIPO telah membuat persediaan dalam menghadapi peningkatan pendaftaran daripada pemilik cap dagangan termasuk memberi latihan kepada semua pegawai terlibat. Kita berada dalam tahap siap siaga (terima pendaftaran baharu) selepas akta dikuatkuasakan,” katanya pada sesi soal jawab Majlis Dialog Bersama Media Mengenai Pemodenan Perundangan Cap Dagangan di Malaysia: Faedah Untuk Rakyat dan Negara di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, melalui akta itu skop perlindungan cap dagangan tradisional diperluaskan kepada bukan tradisional.

“Cap dagangan tradisional antaranya seperti logo, jenama, label dan perkataan manakala cap dagangan bukan tradisional pula antaranya meliputi bunyi,warna, bentuk atau bungkusan produk,” katanya.

Akta Cap Dagangan 2019 yang diluluskan di Parlimen Julai lepas antara lain membolehkan negara menyertai Protokol Madrid bagi memudahkan usahawan tempatan membuat pendaftaran jenama produk mereka di 122 negara.

Penyertaan Malaysia dalam Protokol Madrid akan membolehkan perniagaan Malaysia memfailkan perlindungan hak milik jenama atau harta intelek mereka di negara peserta antaranya Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Brazil, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Protokol Madrid merupakan sistem pendaftaran antarabangsa ditadbir Biro Antarabangsa (IB) Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) yang akan memudahkan perniagaan tempatan berkembang ke luar negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!