Gesa Belanjawan Selangor 2020 tumpu kos hidup pesawah
SABAK BERNAM - Rata-rata pesawah di negeri ini berharap kerajaan Selangor tidak mengabaikan dengan memberi tumpuan menangani kos sara hidup golongan berkenaan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2020.
Ketua blok A 11, Parit 6 Timur, Johari Unit, 62, berkata, kerajaan negeri diminta membela nasib pesawah yang majoritinya masih hidup dalam serba daif dan kemiskinan.
"Kos mengusahakan sawah makin tinggi, malah kami terpaksa membayar sewa jentera, mengupah pekerja, membeli benih padi, baja serta racun hingga adakalanya padi ditanam diserang penyakit selain dilanda musibah seperti musim tanaman kali ini apabila pokok padi ditenggelami air akibat hujan berterusan," katanya.
Johari berkata, pesawah perlu memperoleh sekurang-kurangnya pengeluaran tujuh tan metrik sehektar bagi mengimbangi pendapatan, namun malangnya, pihaknya hanya mampu memperoleh kurang 4 tan metrik sehektar sejak beberapa musim tanaman lalu.
Seorang pesawah, Napiah Idris, 60, berharap kerajaan negeri membantu pesawah dengan memberi bantuan sara hidup.
Katanya, golongan pesawah perlu dibantu memandangkan mereka telah bertungkus-lumus memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.
"Dahulu semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) peringkat Persekutuan, (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd Najib Razak ada memberi bantuan RM200 sebulan dalam tempoh tiga bulan pertama sementara menunggu musim menuai, namun setelah pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan, bantuan itu sudah dihapuskan dan berharap kerajaan negeri dapat membantu nasib pesawah dengan memberi wang saguhati sekurang-kurangnya RM50 sebulan sementara menunggu masa menuai," katanya juga pesawat di Parit 6 1/2 Timur.
Ketua Blok E 13 Parit 7, Mohd Hansani Kamarudin, 50, turut merayu agar kerajaan negeri membantu golongan itu menyelesaikan isu pemotongan pemutuan padi yang melebihi 20 peratus supaya dikurangkan pada kadar 17 peratus.
Sementara itu, Roslan Hassan, 52, berkata, pesawah menaruh harapan tinggi kepada kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan golongan itu tidak dipinggirkan dalam bajet kali ini.
"Kami memohon Menteri Besar, Amirudin Shari dengarlah suara hati kami. Bantulah apa yang perlu bagi memastikan sektor ini juga menyumbang kepada ekonomi negeri, selain menggalakkan anak muda menceburi sektor pertanian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!