Khianat mandat rakyat jika ahli Parlimen ponteng

Syed Agil
Syed Agil
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik menyifatkan ahli Parlimen yang tidak hadir atau ponteng ke Dewan Rakyat tanpa sebab munasabah disifatkan sebagai mengkhianati mandat rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, kes ponteng melibatkan ahli Parlimen di Dewan Rakyat seharusnya dipandang serius.

Katanya, ahli Parlimen terbabit diminta memahami peranan dan tanggungjawab yang berat sebagai seorang wakil kepada rakyat susulan timbul isu ketidakhadiran mereka di Dewan Rakyat mutakhir ini.

Menurutnya, isu ketidakhadiran itu bukan sahaja mendatangkan masalah kepada kelancaran perbahasan dalam Dewan Rakyat malah lebih serius kerana mencemar nama baik dan reputasi Parlimen.

"Ia mencemarkan nama baik dan reputasi Parlimen sebagai Dewan agung yang membahas dan meluluskan undang-undang di negara ini. Sebagai seorang pemimpin rakyat mereka haruslah amanah.

"Amanah dengan kepercayaan diberikan rakyat dengan menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin bertanggungjawab dalam melibatkan hal hal kebajikan rakyat dan perundangan negara," katanya.

Beliau berkata, setiap ahli Parlimen juga perlu menyedari bahawa tatasusila dan etika sebagai pemimpin rakyat harus dipatuhi dan dijelmakan dalam setiap pemikiran, tingkah laku dan perbuatan mereka.

"Ini kerana mereka adalah simbol kepercayaan dan keyakinan rakyat yang membuat pemilihan pada setiap pilihan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau berharap ahli-ahli Parlimen dapat menyedari dan menghayati peranan mereka sebagai pemimpin rakyat yang boleh dicontohi dan terus diyakini para pengundi mereka.

Nada yang sama turut dilontarkan penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed dan baginya ahli politik mempunyai peranan yang sangat besar.

Dr Marthada berkata, ahli Parlimen berperanan dalam menggubal polisi negara jadi seharusnya mereka perlu hadir pada setiap sesi di Parlimen untuk membahas apa juga cadangan Rang Undang Undang.

Ahmad Marthada
Ahmad Marthada

"Terutamanya bagi meningkatkan undang-undang bagi tujuan mensejahterakan masyarakat dan anggota Parlimen adalah wakil rakyat telah diberikan amanah dan tanggungjawab untuk membahaskan sebarang rang undang-undang demi kepentingan masyarakat secara keseluruhannya," katanya.

Katanya, jadi sebab itu ahli Parlimen perlu hadir pada setiap sesi sekiranya mereka tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab di luar daripada sesi Parlimen dan kehadiran mereka perlulah diwajibkan.

"Ini kerana terdapat pelbagai rang undang-undang perlu dibahaskan dan perbahasan sangat penting kerana apabila rang undang-undang itu diluluskan ia akan menjadi undang-undang yang akan diimplementasikan kepada semua masyarakat di negara kita," katanya.

Katanya, sekiranya rang undang-undang yang ada tidak dibahaskan secara menyeluruh dan segala input tidak diberikan maka sebarang rang undang-undang diluluskan itu mungkin tidak akan mendapat hasil yang baik.

"Jadi saya berpendapat bahawa adalah menjadi amanah dan tanggungjawab bagi ahli Parlimen untuk cuba menghadirkan diri mereka bagi setiap sesi ketika mana Parlimen bersidang.

"Ini akan memberikan satu reaksi dan imej baik kepada masyarakat yang memilih mereka kerana sudah tentulah masyarakat mempunyai harapan tinggi agar ahli Parlimen dipilih membuat keputusan terbaik," katanya.

Terdahulu, pihak pembangkang mencadangkan Dewan Rakyat dibubarkan susulan kehadiran mengecewakan ahli Parlimen sepanjang sidang bermula pada 7 Oktober lalu.

Ketika sesi perbahasan minggu lalu, Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya kecewa apabila Dewan Rakyat yang masih bersidang terpaksa dihentikan seketika susulan korum kehadiran tidak mencukupi.

Sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen mesti berada di dalam dewan setiap kali berlangsung sesi perbahasan atau mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon bagaimanapun menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ahli Parlimen kerajaan tidak hadir ke Parlimen sebaliknya menjelaskan mereka ada di kawasan Parlimen namun tidak masuk ke Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!