Ronnie dicabar bawa usul singkir Bersatu dari PH
SEREMBAN - Armada Negeri Sembilan mencabar Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu supaya membawa usul menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Pakatan Harapan (PH) ke Mesyuarat Majlis Presiden PH.
Setiausahanya, Muhammad Firdaus Mohd Rashid berkata, pihaknya ingin melihat sejauh mana DAP boleh pergi jauh tanpa Bersatu.
"Kenyataan Ronnie sangat melampau dan boleh menjejaskan hubungan kerjasama antara parti dalam PH. Jangan terlalu takbur, angkuh dan sombong terhadap apa yang DAP kecapi dalam kerajaan hari ini.
"Tanpa kebijaksanaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam merencana strategi pada PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) tidak mungkin DAP boleh berada dalam blok kerajaan hari ini termasuk menaikkan sokongan orang Melayu khususnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ronnie yang menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.
Ronnie turut memberi amaran Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.
Selain itu katanya, pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah hasil persetujuan bersama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan wajar setiap keputusannya dihormati.
Mengulas lanjut katanya, gabungan parti dalam PH telah bertungkus-lumus berjuang selama ini sehingga memenangi PRU14 dan kini adalah masa untuk fokus kepada tugas masing-masing.
"Saya nasihatkan kepada Ronnie hentikanlah politik dan agenda murahan ini. Fokuslah kepada tugasan masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!