Lelaki cabul nenek 90 tahun kencing dalam mahkamah
SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki mempamerkan kelakuan tidak senonoh dengan kencing dalam kandang tertuduh sebelum bermulanya prosiding di Mahkamah Majistret Sungai Siput di sini hari ini.
Tertuduh, Zawari Osman yang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mencabul turut cuba melarikan diri dengan memanjat kandang tertuduh selain tidak mendengar arahan polis yang memintanya berdiri bagi mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul wanita warga emas berusia 90 tahun sebaik sahaja selesai pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap duda berusia 55 tahun itu dan memerintahkan hukuman berkenaan dilaksanakan bermula hari ini.
Hukuman sebatan tidak diberikan kerana usia tertuduh dan ia tertakluk mengikut Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah mencabul kehormatan mangsa dengan cara memeluk dan meraba selain mencium leher.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Karai, Enggor di sini pada jam 8.30 pagi kelmarin.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh sebelum ini didapati telah melakukan kesalahan sama mencabul wanita berusia 65 tahun, dua tahun lalu dan telah menjalani hukuman penjara 12 bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!