Ronnie yakin tidak bersalah, sedia berdepan jawatankuasa disiplin

 Ronnie Liu
Ronnie Liu
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu bersedia berdepan dengan jawatankuasa disiplin parti itu susulan kenyataannya bersedia membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, beliau yakin dirinya tidak bersalah kerana kerana hanya bercakap mewakili rakyat.

“Dengan berbuat demikian saya dapat mengekalkan nilai-nilai demokrasi yang kita amalkan di DAP. Sama ada di hadapan jawatankuasa disiplin parti atau sebaliknya, saya akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan pandangannya itu tidak mewakili kedudukannya dalam DAP.

“Semua ulasan dan pendapat yang saya luahkan dibuat dengan tulus hati dan ia tidak mewakili pandangan parti. Oleh itu, tidak ada niat untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PH dan pastinya bukan dalam parti yang telah saya berkhidmat selama bertahun-tahun.

“Banyak perkara yang saya bangkitkan juga adalah berdasarkan apa yang dinyatakan oleh masyarakat awam melalui media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Sungai Pelek turut mempertikaikan kenapa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali tidak dikenakan tindakan selepas beliau secara terbuka menentang perjanjian PH mengenai penyerahan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apa pun keputusannya, saya akan tetap berpegang pada niat baik dan sebagai wakil rakyat melihat rakyat sebagai ketua saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ronnie turut mendakwa, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mengikut model pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai sebuah parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.

Beliau tidak boleh membenarkan PH tidak menunaikan janji yang dibuat terutama dalam manifesto sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Rakyat tidak berpuas hati dengan Dr Mahathir apabila senarai janji PH tidak dipenuhi seperti janji berkaitan Lynas, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), penghapusan tol, pinjaman PTPTN, royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, Dr Mahathir tidak boleh bertindak secara sepihak terutama berkait isu yang memberi kesan ke atas keyakinan rakyat terhadap PH.

“Sebagai contoh, India telah mengambil keputusan untuk memboikot minyak kelapa sawit negara. Ini akan membantutkan ekonomi negara terutamanya jika China juga bertindak sama susulan kenyataan Dr Mahathir mengenai ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam,” katanya.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook berkata, Ronnie akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti berhubung kenyataannya sebelum ini.

Loke berkata, tindakan Ronnie merupakan satu tindakan sabotaj yang serius dengan tujuan menjejaskan kestabilan dan memecahkan perpaduan dalam Kerajaan PH.

Selasa lalu, beliau membidas prestasi Dr Mahathir dan berkata, sekiranya Pengerusi Bersatu itu cuba memecahkan PH, parti DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Warisan dan Upko masih boleh bergabung dan membentuk kerajaan baru tanpa PPBM.

ARTIKEL BERKAITAN Ronnie akan dirujuk Jawatankuasa Disiplin DAP, Majlis Presiden PH

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!