Bayi dilahir tanpa wajah, doktor digantung tugas
LISBON - Seorang pakar obstetrik di Portugal digantung perkhidmatannya selepas disyaki cuai susulan kelahiran seorang bayi tanpa wajah.
Rodrido dilahirkan tanpa hidung, mata atau sebahagian daripada tengkoraknya pada 7 Oktober lalu dan kecacatan itu hanya disedari selepas dia dilahirkan di sebuah hospital di Setubal, kira-kira 40 kilometer di selatan Lisbon.
Susulan kejadian itu, Majlis Perubatan Portugal pada Selasa lalu sebulat suara mengundi menggantung Dr Artur Carvalho daripada melakukan tugasnya selama enam bulan.
Difahamkan, Carvalho mempunyai enam aduan lain sejak tahun 2013.
Siasatan terhadap kes bayi malang itu dibuka selepas ibu bapa Rodrigo membuat aduan dan berita tersebut menggemparkan negara.
"Terdapat bukti kukuh terhadap kecuaian doktor yang boleh menyebabkan penggantungan disiplin.
"Memandangkan kesan kes ini mempunyai kesan kepada reputasi doktor dan tentang memberi jaminan kepada wanita hamil, penggantungan adalah perlu untuk menilai aduan," jelas ketua majlis perubatan untuk wilayah selatan Portual, Alexandre Valentim Lourenco.
Carvalho mengikuti perkembangan kehamilan ibu Rodrigo di sebuah klinik swasta di Setubal di mana dia menjalankan tiga mandatori ultrabunyi tetapi tidak melaporkan sebarang masalah secara rasmi.
Ibu bapa bayi berkenaan telah dimaklumkan mengenai ketidaknormalan janinnya selepas melakukan ujian ultrabunyi ketika kandungan berusia enam bulan, namun ditenangkan oleh Carvalho.
"Doktor menjelaskan kadang kala beberapa bahagian wajah tidak kelihatan ketika imbasan ultrabunyi kerana muka bayi melekat pada perut ibu," kata ibu saudara Rodrigo.
Sehingga kini, Rodrigo masih berada di hospital untuk pemantauan pasukan perubatan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!