Tempat letak kereta dijual RM5.5 juta
HONG KONG - Sebuah tempat letak kereta di Hong Kong didakwa dijual hampir AS$1.32 juta (RM5.5 juta) menjadikannya tempat paling mahal untuk meletak kenderaan di bandar itu dan di dunia.
Penjualnya, Johnny Cheung Shun Yee merupakan seorang ahli perniagaan dan mempunyai reputasi dalam bidang hartanah.
Tahun lalu, Shun Yee memperoleh AS$114.8 juta (RM480 juta) dalam tempoh sembilan bulan dengan membeli dan menjual beberapa tingkat di sebuah bangunan pejabat.
Difahamkan tempat letak kereta tersebut terletak di bangunan sama, The Centre yang juga menjadi pejabat paling mahal di dunia.
Untuk harga sebuah tempat letak kereta itu, ia ibarat boleh membeli sebuah apartmen satu bilik di Manhattan, New York.
"Kebanyakan pemilik di The Centre mempunyai kewangan yang kukuh atau terlibat dalam perniagaan berpendapatan tinggi. Bagi hartawan, ia bukan pembelian luar biasa jika dibandingkan dengan nilai tingkat pejabat yang mereka miliki," kata Pengarah Urusan di Centaline Commercial, Stanley Poon.
Ketidaksamaan pendapatan itu telah mencetuskan rusuhan ganas yang menggemparkan Hong Kong sejak beberapa bulan lalu antara orang kaya dan rakyat biasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!