Pekerja Foodpanda maut digilis lori
KOTA BHARU- Seorang penghantar makanan Foodpanda maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan dan digilis lori di Jalan Long Yunus di sini, petang semalam.
Mangsa, Mohamad Firdaus Abdul Hamid, 26, menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dipercayai melanggar sebuah van jenis Toyota Hiace sebelum terjatuh dan digilis lori.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa menunggang motosikal dari Jalan Ahmad Maher ke Taman Maju.
“Mangsa yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di zon merah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!