Semua pimpinan parti PH perlu belajar kawal lisan, kata Mujahid
SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta barisan kepimpinan semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Amanah mengawal lisan dan tidak membuat cetusan.
Menurutnya, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh parti komponen PH perlu merujuk dan menghormati semua keputusan perjanjian PH.
"Merujuk kepada isu antara DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), saya melihat cetusan daripada seseorang iaitu pandangan peribadi bukannya mewakili keseluruhan DAP dan jauh sekali mewakili PH.
"Bersatu pula takkan hendak duduk diam. Pasti mereka akan pertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.
"Jadi saya minta mana-mana pihak dalam parti komponen tidak kira siapa pemimpin termasuk Amanah sendiri kena belajar mengawal lisan dan beri lebih tumpuan buat hasil yang terbaik untuk rakyat melihat kita serta lebih mempercayai kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mujahid yang juga juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rakyat dan Amanah mahu melihat PH lebih banyak menumpukan kepada usaha memenuhi manifesto dan melakukan yang terbaik sebagai kerajaan.
"Dr Mahathir, kita telah bersetuju beliau menjadi pemimpin kalau kita menang (PRU14) dan sudah pun ada perancangan dengan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pengganti selepas ini. Perkara ini cukup jelas.
"Jadi Amanah sebagai salah satu parti komponen berpegang dan menghormati keputusan itu. Saya minta isu ini tidak dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu yang memang mahu menggambarkan seolah-olah PH berpecah.
"Kita sudah ada perkara yang amat jelas. Jadi tumpukan kepada isu yang lebih besar iaitu membina negara dan mengisi ruang kemenangan yang ada. Tumpukan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!