Ketam hidup di mesin cakar dikecam netizen
SINGAPURA - Setiap kali pergi ke pusat beli belah, tentunya akan terserempak dengan mesin anak patung yang digelar sebagai 'claw machine' atau 'UFO catcher'.
Mesin itu kebiasaannya menyediakan anak patung sebagai ganjaran jika berjaya menyepit dan membawanya ke lubang khas.
Namun berlainan pula di sebuah restoran di sini apabila menggunakan mesin seperti itu untuk menangkap ketam hidup.
Sebuah mesin berwarna merah jambu diisi ketam hidup malah terpampang gambar kartun ketam yang sedang tersenyum dengan kata 'Datang dan tangkap saya' tular di media sosial minggu ini.
Konsepnya sama seperti mesin di pasar raya, pelanggan perlu membayar dolar Singapura $5 (RM21) untuk mendapatkan seekor ketam.
Jika berjaya, pelanggan boleh memiliki ketam jenis Sri Lanka itu dengan memilih sama ada dibawa pulang atau dimasak di restoran yang disediakan pada hari lain.
Bagaimanapun promosi itu dikecam selepas gambar berkenaan dimuat naik di media sosial.
"Ini sangat melampau, ketam adalah makhluk hidup bukan mainan," tulis Joesph Soh di Facebook.
Ketua Eksekutif House of Seafood, Francis Ng memberitahu AFP, promosi yang bermula bulan ini telah ditarik balik malah beliau terkejut menerima reaksi berkenaan daripada netizen.
"Orang berfikir saya menyeksa mereka tetapi kami tidak ada niat untuk berbuat demikian. Ketam tidak luka atau rosak.
"Kuku mesin itu telah ditutup dengan plastik dan ruang dalam mesin itu diletakkan air bagi mengelakkan ketam cedera jika terjatuh," katanya.
Ng menambah, promosi yang sama dilakukan di China dan ia mendapat sambutan menggalakkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!