Kebebasan bersuara perlu 'dipandu' dengan adab, undang-undang

Mohd Imran pada program #Cakaplah Mahasiswa Millenial: Antara Adab & Kebebasan Bersuara di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.
Mohd Imran pada program #Cakaplah Mahasiswa Millenial: Antara Adab & Kebebasan Bersuara di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kebebasan di negara ini secara keseluruhannya perlu 'dipandu' dengan undang-undang dan adab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, pelbagai saluran tersedia supaya semua pihak bebas bersuara.

Menurutnya, kebebasan bersuara perlu berasas kerana ia berkait rapat dengan prinsip individu.

"Kebebasan bersuara adalah untuk kita suarakan pendapat. Tetapi apa sahaja 'suara' mesti dipandu kerana ada perkara yang kita boleh 'sentuh' dan ada perkara yang kita tidak boleh 'sentuh'.

"Selain itu, kena ada adab, prinsip kita. Jaga adab jangan biadab dan bersedia 'agree to disagree' apabila menyuarakan pendapat," katanya pada program #Cakaplah Mahasiswa Millenial: Antara Adab & Kebebasan Bersuara di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Selain Mohd Imran, #cakaplah turut menampilkan dua panelis lain iaitu ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof dan Yang dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Aznur Syah Azman sementara personaliti televisyen, Nur Affiza Azmi selaku moderator.

Mohd Imran berkata demikian merujuk kepada insiden seorang mahasiswa Universiti Malaya yang melakukan protes berani dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universiti berkenaan sejurus menerima skrol ijazahnya pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Kali ke-59, 14 Oktober lalu.

Bagi Edry Faizal, tidak wujud sebenarnya kebebasan mutlak dalam kebebasan bersuara kerana ia masih ada batas-batas tertentu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua pihak perlu beradab selain memahami untuk mencari batas berkenaan setiap kali mahu bersuara.

"Adab ini sebenarnya cair. Jika 'suara' itu di pihak kita, ia OK. Jika bagi pihak luar, ia tidak OK.

"Jika masih ingat, suatu ketika dahulu ketika bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama berkunjung ke negara ini ada insiden penuntut UM yang mempamerkan plakad bertulis Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) sewaktu lawatannya ke kampus berkenaan.

"Ada yang pihak bersetuju dan menyokong dan ada juga tidak bersetuju dengan tindakan penuntut berkenaan. Sebab itu penting untuk kita mengetahui di mana batas kebebasan bersuara," katanya.

Sementara itu Muhammad Aznur berkata, sebenarnya masih ada kaedah lain untuk mahasiswa bersuara.

"Bagaimanapun apabila 'suara' mereka (mahasiswa) yang disalurkan menerusi saluran yang betul tidak didengari oleh pihak yang sepatutnya, itulah punca kepada insiden yang disebutkan tadi.

"Mahasiswa adalah golongan intelektual, beradab dan mengamalkan nilai murni yang berteraskan rukun negara. Setiap mahasiswa ada kebebasan bersuaranya sendiri.

"Tetapi apabila sudah menggunakan saluran berkenaan dan pihak yang sepatutnya tidak mendengar, itulah puncanya.

"Bagaimanapun, perlu hormat majlis kerana Istiadat Konvokesyen berkenaan mendapat perkenan dan perbuatan merosakkan istiadat itu kita tak boleh diterima," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!