Malaysia kenal pasti isu ke PBB

Kementerian Luar
Kementerian Luar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha untuk mengukuhkan multilateralisme, Malaysia telah mengenal pasti beberapa isu berkepentingan yang bakal dibangkitkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun depan bersempena dengan ulang tahunnya ke-75.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia secara umumnya akan menggariskan pembaharuan di PBB dan menyertai program seperti 'Beijing+25 Summit’ dan ‘Review Conference on the Treaty of Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT)'.

“Malaysia kekal komited dalam meneruskan kerjasama dan libat urus dengan PBB, berdasarkan pendirian berprinsip dalam isu berkepentingan negara serta prinsip-prinsip seperti yang termaktub di dalam Piagam PBB,” menurut kenyataan itu.

Pada hari ini, 74 tahun selepas pembentukan badan dunia itu, Malaysia berpendirian bahawa PBB kekal sebagai platform terbaik untuk menjalinkan kerjasama antarabangsa berdasarkan prinsip saling menghormati dan undang-undang antarabangsa, selaras dengan Piagam PBB.

Malaysia bersama-sama 192 anggota PBB, meraikan ulang tahun ke-74 PBB yang menandakan tarikh berkuatkuasanya Piagam PBB sejak 1945.

Malaysia menjadi ahli PBB setelah mencapai kemerdekaan pada 1957 dan secara konsisten telah mempromosikan tiga tunggak PBB iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan.

Selain memenuhi komitmen dan tanggungjawab antarabangsa di bawah kerangka PBB, Malaysia juga giat menyertai misi-misi pengaman PBB sejak 1960 selain menyumbang dalam pencegahan konflik serta memelihara keamanan antarabangsa khususnya semasa Malaysia menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak empat kali iaitu pada 1965, 1989-1990, 1999-2000 dan 2015-2016.

Dalam konteks pembangunan Malaysia kekal komited melaksanakan Agenda Pembangunan Mampan PBB 2030 yang diterapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (2016-2020).

Artikel Berkaitan:

Terkini, Malaysia melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 (WKB 2030) pada 5 Oktober yang bertujuan memastikan kesamarataan dalam pembangunan ekonomi di semua peringkat menjelang 2030, sejajar dengan matlamat Agenda 2030. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!