K.FISH rancang pasar makanan laut hidup, sejuk beku dari Korea
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia tidak perlu lagi terbang ke Korea semata-mata untuk menikmati makanan laut hidup dan segar kerana ia akan datang kepada anda tidak lama lagi.
Mungkin kedengaran mustahil tetapi perkara itu bakal direalisasikan dalam tempoh terdekat oleh Korea Seafood Trade Support Centre (Kuala Lumpur) di bawah jenama K.FISH.
Pengurus Besarnya, Lee Dong Jun berkata, selepas melancarkan jenama K.FISH di Malaysia pada Jun 2018, beliau melihat terdapat permintaan yang sangat tinggi terhadap makanan laut Korea daripada rakyat negara ini.
Beliau berkata, melihat kepada perkembangan positif itu, pihaknya merancang untuk memberi penumpuan baharu kepada pasaran negara pada tahun ini iaitu dengan memperkenalkan pula makanan laut hidup serta sejuk beku dari Korea.
Menurutnya, fokus baharu itu juga mengambil kira gaya hidup rata-rata rakyat Malaysia yang dilihat gemar menikmati makanan laut di luar sama ada di restoran, kafe atau hotel.
"Kami melihat perkara itu sebagai satu peluang besar untuk memperkenalkan makanan laut segar sama ada hidup atau beku dari Korea kepada penggemar makanan laut di negara ini.
"Menerusi K.FISH terdapat 14 jenis makanan laut Korea yang diperkenalkan tetapi kami akan tumpukan kepada lima yang paling utama iaitu abalon, tiram, ikan sebelah (flounder fish), rumpai laut dan kek ikan bagi projek baharu ini," katanya ketika ditemubual Sinar Harian pada Ekspo Pameran Food and Hotel Malaysia (FHM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya kini dalam fasa untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak hotel, pengusaha kafe serta restoran di Malaysia bagi memperkenalkan makanan laut Korea kepada pasaran tempatan khususnya penggemar makanan itu di negara ini.
"Kami kini dalam proses untuk bertemu bagi menjalin kerjasama dengan pemilik-pemilik hotel serta restoran berhubung perkara ini dan menyasarkan projek ini akan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan," katanya.
Namun Dong Jun berkata, buat masa ini pihaknya berkolaborasi dengan UCSI University di Ibu negara melalui Fakulti Pengurusan Hotel dengan melantik seramai 24 pelajar menjadi duta K.FISH di Malaysia.
Menurutnya, kesemua duta K.FISH ini dipertanggungjawabkan untuk melakukan beberapa aktiviti iaitu memuat naik makanan-makanan laut Korea, mempromosikannya termasuk berkongsi resipi makanan laut itu menerusi platform Instagram serta Facebook mereka.
"Kita juga sedang merancang kerjasama dengan Gastronomy Association of Malaysia untuk mengadakan kelas masakan atau demonstrasi masakan dengan menggunakan makanan laut Korea," katanya.
Dalam pada itu Dong Jun berkata, K.FISH akan meneruskan usaha memperkenalkan makanan laut Korea yang siap diproses, sedia dimakan, dipanaskan atau sedia dimasak di Malaysia.
Katanya, sejak dilancarkan tahun lalu di negara ini, K.FISH memperkenalkan produk-produk makanan laut antaranya seperti snek rumpai laut, snek ikan bilis serta ikan mackerel.
"Kami akan perluaskan lagi produk-produk makanan laut Korea yang siap diproses atau sedia dimakan ini untuk menembusi lebih banyak pasaran runcit di Malaysia dan setakat ini produk-produk tersebut sudah dijual antaranya di Jaya Grocer, Village Grocer dan Cold Storage," katanya.
Selain itu katanya, kini terdapat dua cawangan K.FISH Anchor Shop di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang berfungsi sebagai 'pintu masuk' atau lokasi pengenalan produk makanan laut Korea di Malaysia.
"Persampelan pelbagai makanan laut Korea untuk dipromosi dibuat di dua cawangan K.FISH Anchor Shop ini, selain turut menjadi tempat untuk menguji pasaran produk K.FISH sebelum ia diperluaskan untuk jualan di seluruh pasaran runcit Malaysia.
"Pada November nanti, kami akan memperkenalkan produk kek ikan yang sedia dimakan dan akan dijual di dua K.FISH Anchor Shop ini sahaja. Produk ini akan diperluaskan di kedai-kedai lain sekiranya mendapat maklum balas atau permintaan daripada pelanggan," katanya.
K.FISH merupakan jenama produk rasmi Korea yang menghimpunkan makanan laut daripada syarikat-syarikat di negara itu untuk dibawa masuk ke pasaran beberapa negara termasuk Malaysia.
Produk- produk perikanan yang dipasarkan selamat, berkualiti tinggi dan melepasi piawaian penilaian yang ketat dari Kementerian Lautan dan Perikanan (MOF) Korea.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!