JKKN Pahang ketengah tarian labi-labi

Salah seorang penari menunjukkan pergerakan tarian labi-labi dengan penghayatan.
Salah seorang penari menunjukkan pergerakan tarian labi-labi dengan penghayatan.
A
A
A

KUANTAN - Tarian labi-labi antara warisan tradisional yang menjadi fokus kajian dan penyelidikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang tahun ini.

Pengarahnya, Dayang Kartini Awang Bujang berkata, ramai yang tidak tahu bahawa tarian yang menjadi identiti negeri Pahang dari daerah Pekan itu merupakan bunga seni yang berasal dari gerakan persilatan.

Menurutnya, pada masa dahulu persilatan disulami seni gerakan unik bercirikan binatang eksotik labi-labi yang kemudiannya menjadi tarian untuk persembahan.

"Ia antara yang diberikan tumpuan oleh JKKN Pahang dan kita akan berusaha mengangkat serta mengembalikan semula seni tari ini untuk tatapan generasi baharu.

"Kalau cakap negeri Pahang orang cuma fikir seninya pada bahasa, lagu dan tarian joget tapi sebenarnya lebih daripada itu. Ada tarian labi-labi, tarian pelanduk dan banyak lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Tarian labi-labi dikatakan berasal dari seni persilatan yang akhirnya diolah menjadi seni tari dengan iringan alat muzik.
Tarian labi-labi dikatakan berasal dari seni persilatan yang akhirnya diolah menjadi seni tari dengan iringan alat muzik.

Dayang Kartini berkata, pihaknya kini sedang giat mempromosikan tarian labi-labi sebagai satu lagi khazanah dan warisan budaya negara yang perlu dikekalkan.

Menurutnya, tarian tersebut merupakan sejenis tarian Melayu tradisional yang dikatakan berasal dari seni persilatan yang akhirnya diolah menjadi seni tari dengan iringan alat muzik.

Artikel Berkaitan:

"Tarian labi-labi bersifat komedi dan penarinya terdiri daripada orang lelaki sahaja yang akan berpakaian Melayu tradisi selengkapnya termasuk memakai kain samping dan tengkolok.

"Penari akan memakai peralatan di belakang seperti cangkerang labi-labi dan memulakan gerak tarinya seperti gerak labi-labi. Penari yang berlagak sebagai anak labi-labi akan keluar dari sarangnya dan menyertai penari-penari dalam penceritaan lagu.

"Alat-alat muzik yang digunakan terdiri daripada gendang ibu dan anak, gong, keketuk buluh dan seruling. Tarian labi-labi berasal dari Kampung Sarang Tiung daerah Rompin dan berkembang di Kampung Pulau Rumput daerah Pekan. Tarian ini ditarikan oleh lebih dari seorang penari," katanya.

Bagaimanapun, pihak JKKN Pahang sentiasa membuat kajian terperinci mengenai tarian tradisional ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, JKKN giat melaksanakan program sepanjang tahun antaranya sambutan 100 Tahun Fraser Hill dan Sambutan Hari Merdeka ke-62 bersama Kerajaan Negeri Pahang; Syarahan Perdana Serlahan Budi bersama UIA Gambang; Tourism Malaysia Surcasting Tour 2019 dan Senam Seni Malaysia Sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Negeri Pahang

Pelaksanaan kesemua program tersebut akan dibuat berdasarkan lima teras utama sepanjang tahun ini iaitu; pemuliharaan seni budaya; jaringan kerjasama; jangkauan seni budaya; pengukuhan dan asuhan kemahiran seni.

Kumpulan penari tarian labi-labi terdiri dalam kalangan pemain muzik dan penari.
Kumpulan penari tarian labi-labi terdiri dalam kalangan pemain muzik dan penari.