Lelaki didakwa miliki majalah berkaitan IS
IPOH - Seorang pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan Kumpulan Pengganas Islamic States (IS), Mei lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Hafiz Othman, 42, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norashima Khalid.
Lelaki tersebut dituduh memiliki empat naskhah majalah Dabiq- Kembalinya Khilafah, Dabiq- The Flood, Dabiq- Panggilan untuk hijrah dan Al- Mustaqbal- The last war (Malhamah Al Kubro) yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan IS.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Changkat Batu, Malim Nawar kira-kira jam 2.30 petang, 18 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Asif Mohd Noor.
Sebelum itu tertuduh dibawa dengan kawalan ketat polis dan tiba di Kompleks Mahkamah Ipoh pada jam 8.15 pagi.
Pada 30 Mei lalu, tertuduh pernah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas dakwaan pergi ke Wilayah Sinai Mesir dari Malaysia melalui Kaherah dengan niat melakukan aktiviti-aktiviti pengganas.
Hafiz ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) pada 17 Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!