Tun Mahathir terima kunjungan hormat Jeremy Hunt
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel United Kingdom (UK), Jeremy Hunt di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Ketibaan Hunt, yang diiringi delegasi dari Pejabat Luar dan Komanwel UK, disambut Dr Mahathir di pejabatnya pada 3 petang, Pertemuan itu berlangsung hampir sejam.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Vicki Treadell.
Difahamkan antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom, serta untuk bertukar-tukar pendapat dalam isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama.
Hunt sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
Terdahulu, Hunt mengunjungi Saifuddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo di kementerian masing-masing di Putrajaya.
Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata lawatan itu dijangka terus mempereratkan ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan yang terjalin sejak sekian lama dengan UK di samping mempertingkatkan kerjasama dalam bidang baharu antara kedua-dua negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!