'Hajat jadi bomba tercapai, Ahmad Danial tenang di sana'

Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7, merupakan penghidap kanser pangkal otak disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.
Gambar kecil: Impian Ahmad Danial jadi bomba tercapai sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7, merupakan penghidap kanser pangkal otak disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan. Gambar kecil: Impian Ahmad Danial jadi bomba tercapai sebelum menghembuskan nafas terakhir.
A
A
A

KUANTAN - Raut wajah Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7, yang menghidap kanser pangkal otak tahap empat tenang selepas 20 hari hajatnya untuk menjadi 'bomba cilik' tercapai.

Bapanya, Ahmad Suhairi Ali,33, berkata, sejak impian anaknya itu direalisasikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang wajahnya anak sulung daripada tiga beradik itu sentiasa gembira dan teruja.

Menurutnya, gambaran wajah Ahmad Danial dapat kelihatan setiap kali melihat mata anaknya memandang beg diberikan JBPM awal Oktober lalu.

"Saya nampak dia lain (Ahmad Danial) bila nampak beg bomba. Air muka dia lain (berubah) sebab teruja dan semoga tenang di sana.

"Itu sahaja yang saya nampak selain melihat kedudukan tidur berubah berbanding hari-hari biasa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bugis, Beserah hari ini.

Pada 5 Oktober lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah Ahmad Danial yang begitu teruja menjadi ahli bomba.

Allahyarham Ahmad Danial turut beruntung selepas kisahnya mendapat perhatian Pengarah JBPM negeri, Nor Hisham Mohamad apabila sudi meluangkan masa memenuhi impiannya.

Ahmad Suhairi berkata, keluarganya sudah lama reda untuk menerima hakikat kehilangan anaknya itu selepas doktor mengesahkan Ahmad Danial menghidap kanser jenis Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) pada tahap empat yang tidak mempunyai peluang untuk sembuh.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN Impian Ahmad Danial jadi bomba tercapai

Sebelum itu, Ahmad Suhairi berkata, Ahmad Danial tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit dalam tempoh dua tiga hari ini namun semalam, Ahmad Danial muntah dan dia bersama isterinya, Noor Aznie Abu Kassim, 33, membantu dengan menyedut kahak.

Bagaimanapun, anaknya itu tidak boleh bernafas walaupun dia cuba memberi bantuan pernafasan sehingga memaksanya membawa Ahmad Danial ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan dan disahkan meninggal dunia.

"Saya dan keluarga cuba terima, cuba bersedia dan sudah lama kami reda walaupun masih menyimpan harapan untuk Ahmad Danial sembuh itu tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!