Rasuah: Dr Kunaseegaran dijel 18 bulan, denda RM300,000

Kunaseegaran (kanan) ketika dibawa ke mahkamah hari ini.
Kunaseegaran (kanan) ketika dibawa ke mahkamah hari ini.
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Dr R. Kunaseegaran dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan pilihan menerima rasuah RM700,000 enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan 15 September 2015 dan dua tahun penjara jika gagal membayar denda. Mengikut kertas pertuduhan, Kunaseegaran, 56, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.15 petang, 3 September 2013 di Empire Shopping Gallery di Petaling Jaya sebagai Ahli Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Tertuduh didakwa menerima wang tunai sebanyak RM700,000 daripada Abdul Razar Abdullah yang mana mengetahui bahawa syarikat- syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B&S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd berkepentingan dan mempunyai dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya. Ketika prosiding, Mohd Yazid turut membenarkan rayuan Kunaseegaran untuk mengenepikan hukuman dan sabitan penjara 10 tahun dan denda RM7 juta yang disabitkan oleh Mahkamah Sesyen, tahun lalu.

"Hakim Mahkamah Sesyen melalukan khilaf ketika mensabitkan hukuman terhadap perayu atas dua pertuduhan dihadapinya sebelum ini.

"Justeru, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada dua pertuduhan asal sebelum ini," katanya.

25 Jun tahun lalu, Kunaseegaran dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap dua pertuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta, empat tahun lalu.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Artikel Berkaitan:


Walaupun hukuman penjara bagi kesalahan rasuah itu sudah tamat, Kunaseegaran masih ditahan kerana dia juga tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!