Dua bot nelayan asing ceroboh perairan Pahang ditahan

Bot disyaki milik nelayan asing ditahan APMM tengah hari kelmarin. FOTO: Ihsan APMM Pahang
Bot disyaki milik nelayan asing ditahan APMM tengah hari kelmarin. FOTO: Ihsan APMM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Dua bot disyaki milik nelayan asing bersama dua tekong dan 21 awak- awak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan negeri ini tengah hari kelmarin.

Bot terbabit ditahan kira-kira jam 1 tengah hari kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 64 batu nautika dari Kuala Pekan.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, dua bot berkenaan menggunakan nombor pendaftaran dipercayai dari Vietnam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit, pihaknya menemui dan merampas pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 4 tan.

"Semua barang rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM2 juta.

"Tekong dan semua awak-awak berusia dalam lingkungan 16 hingga 53 tahun dan bot yang ditahan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut," katanya.

Dua tekong dan 21 awak- awak ditahan. Foto:Ihsan APMM Pahang
Dua tekong dan 21 awak- awak ditahan. Foto:Ihsan APMM Pahang

Zulkarnain berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan kedua-dua tekong boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun.

"Bagi semua awak-awak mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini APMM Negeri Pahang telah melakukan 755 pemeriksaan dengan 61 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

Katanya, orang ramai disaran memberi kerjasama membantu dalam menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Negeri Pahang di talian 09-5717345.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!