Terima makanan daripada bukan Muslim, Da'i Wan beri penjelasan
SHAH ALAM - Seorang pelayar Twitter meluahkan rasa terkilan mengenai tindakan rakan-rakan sekelasnya yang tidak menjamah makanan dibawa seorang rakan bukan Muslim ketika jamuan di kelasnya, mendapat perhatian daripada netizen termasuk penceramah bebas, Da’i Wan Dazrin.
Dalam entri pelayar tersebut, dia mendedahkan rakan bukan Muslimnya itu membawa ayam teriyaki, namun tiada yang yang sudi memakannya kerana khuatir dari sudut kesuciannya walaupun rakan tersebut memberitahu dia dan ibunya membeli periuk dan senduk baharu semata-mata mahu menjamu makanan untuk rakan Muslim.
Wan Dazrin ketika memberi maklum balas terhadap kemusykilan yang menjadi bualan warganet itu memberitahu bahawa orang Muslim menghormati pemberian bukan Muslim dengan menerima makanan halal, namun bukan daripada sembelihan.
"Ini perlu difahami dengan baik. Bukan mahu menolak tapi sebab kita menjaga kesucian tuntunan agama kita dalam menjaga waraknya diri daripada perkara-perkara yang syubhah," ciapnya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu sekiranya Muslim meragui pemberian makanan daripada bukan Muslim, mereka boleh menolaknya dengan cara paling berhemah dan menjelaskan kepada mereka dengan baik.
"Bukan Muslim pun jikalau mahu memberikan toleransi, boleh menyediakan makanan yang sudah siap halal kepada kami.
"Kami pasti akan menerimanya dengan baik tanpa perlu menolaknya. Kalian pun tidak akan terasa hati dengan tindakan kami," katanya.
Beliau turut memberi cadangan kepada bukan Muslim agar membeli makanan dari restoran terkemuka yang sedia maklum memiliki sijil halal seperti dari restoran makanan segera.
"Semua tahu produk itu halal, semua masyarakat boleh makan dan boleh dikongsi bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!