Tindakan NGO bantah projek PSR di forum antarabangsa dikesali

Antara projek yang melibatkan tambakan laut di Pulau Pinang.
Antara projek yang melibatkan tambakan laut di Pulau Pinang.
A
A
A

PULAU PINANG – Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang Forum membantah projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) pada Forum Bandar Asia Pasifik Ke-7 yang berlangsung di sini baru-baru ini amat dikesali.

Bekas Ahli Majlis Seberang Perai, Joshua Woo berkata, persepsi negatif pihak terbabit terhadap projek penambakan laut itu perlu ditolak.

Menurutnya, tindakan dan mentaliti mereka yang mengambil kesempatan sempena forum antarabangsa itu disifatkannya memalukan Pulau Pinang.

“Tindakan mereka menyebarkan risalah, menimbulkan kacau ganggu semasa pembentangan PSR dan mengenakan pakaian anti-PSR selain menyerahkan memorandum bantahan tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pertemuan dihadiri 3,000 delegasi termasuk datuk bandar dan ketua beberapa negara itu bertujuan untuk bertukar pendapat serta menyatakan komitmen ke arah pembangunan mampan namun disalah guna oleh NGO terbabit.

Katanya, sejarah negara membuktikan, kerajaan telah membangunkan tanah laut untuk tujuan pembangunan seperti negara membangun lain di seluruh dunia.

“Tanah Dubai yang ditambak mencecah 15,000 hektar. Penambakan terbesar membabitkan transformasi ekonomi berasaskan minyak kepada perniagaan, kewangan dan hab pelancongan.

“Sebanyak 13,800 hektar keluasan tanah Singapura ditambak antara 1965 dan 2015. Kerajaan Singapura menyedari keperluan untuk menambahkan sebanyak 5,600 hektar kawasan lagi menjelang 2030. Kini, negara itu telah melakukan penambakan laut bagi membina terminal pelabuhan kontena terbesar di dunia.

Artikel Berkaitan:

“Di China, dalam tempoh tiga tahun iaitu 2013 hingga 2016, sejumlah 42,000 hektar tanah telah ditambak.

“Denmark pula akan membina sembilan pulau tiruan pada 2022 untuk meluaskan kawasan perindustrian berdekatan pantai Copenhagen bagi menarik 380 perniagaan baharu dan membina 12,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, di negeri-negeri di Malaysia, penambakan bagi tujuan pembangunan dipraktikkan, sedang dilaksanakan dan dirancang untuk meningkatkan taraf sosioekonomi kawasan terbabit.

“Antaranya Pembangunan Lembah Sireh, KB Waterfront, Kelantan, Melaka Gateway, Kuantan Waterfront, Pulau Buatan, Marina Island, Perak, KK Resort City, Sabah, Forest City, Johor dan Sunrise City, Kuala Nerus, Terengganu. Kesemua projek berkenaan membabitkan penambakan.

“Pulau Pinang sendiri telah berjaya membangunkan projek penambakan antaranya Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Karpal Singh Drive, Straits Quay, Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan kawasan Weld Quay,” katanya.

Joshua berkata, kebanyakan penduduk Pulau Pinang hari ini bekerja, hidup, melancong, dan menghabiskan masa lapang mereka di atas tanah yang ditambak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!