Pergaduhan di Cheras bukan kerana isu perkauman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pergaduhan menggunakan senjata antara sekumpulan penduduk sebuah blok Flet Sri Johor di Cheras pada Rabu malam bukan disebabkan isu perkauman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintedan Kamal Khan Mohd Shariff berkata sebaliknya siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar pergaduhan pada kira-kira pukul 7.30 petang itu.

“Motif pergaduhan yang didakwa disebabkan isu perkauman seperti ditularkan di media sosial adalah tidak benar,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penduduk Sri Johor di sini, hari ini.

Kamal Khan berkata tiga lelaki berusia 20 hingga 24 tahun yang cedera dalam kejadian itu dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini.

Pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga yang ditahan mendapati seorang daripadanya positif dadah. Pemeriksaan lanjut juga mendapati seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

“Polis akan merakam percakapan saksi kejadian dan mungkin menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata polis juga akan mengesan individu yang tidak bertanggungjawab menularkan kejadian itu dengan kenyataan tidak benar hingga menimbulkan rasa takut kepada penduduk.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Menurut, seorang penduduk yang tidak mahu namanya disiarkan pergaduhan tercetus apabila seorang penduduk bersenjatakan parang menyerang seorang lagi lelaki di sebuah gerai di kawasan flet itu. Mangsa serangan itu kemudiannya memanggil anggota keluarga lain dan bersemuka dengan penyerang dan kumpulannya sehingga menimbulkan kekecohan.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Rohani, 50-an, ketika ditemui Bernama berkata ketika kejadian beliau terdengar bunyi bising dan berasa takut untuk keluar rumah.

“Ketika kejadian saya tinggal berseorangan di rumah jadi saya berasa amat takut. Saya sudah lebih 30 tahun tinggal di sini dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi memastikan kawasan kediaman ini selamat kepada penduduk,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!