Komik kontroversi ada agenda: PSAP

Haslihelmy
Haslihelmy
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) bimbang komik kontroversi, ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ akan diedarkan secara senyap di Pahang kerana ada wakil DAP yang menentang pengharaman komik itu.

Justeru, Presidennya Haslihelmy DM Zulhasli berkata, walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap komik itu namun masih tidak menghalang pihak tidak bertanggungjawab mengedarkannya.

"Saya percaya, pengedaran komik itu akan tetap dilakukan dengan apa cara sekalipun kerana ada antara wakil rakyat di negara ini terutama dari DAP yang menentangnya.

"Kenapa ada suara-suara yang menentangnya walaupun KDN telah membuat keputusan mengharamkan komik itu? Sudah tentu ada agenda tertentu di sebalik penerbitan dan pengedaran komik itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, komik tersebut menyebarkan fakta salah, mengelirukan dan mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis sekali gus menimbulkan keraguan mengenai sejarah Malaysia.

"Jadi, tindakan tegas perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menyekat penyebaran komik kontroversi itu yang jelas tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

"Kita bimbang penyebarannya boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini," katanya

Haslihelmy berkata, sebagai rakyat negara ini seharusnya perlu memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh tanpa mengira fahaman politik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!