Tahanan LTTE dibenar bertemu ahli keluarga: KPN

Tan Sri Abdul Hamid Bador
Tan Sri Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 12 individu yang ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibenar bertemu ahli keluarga pada sambutan perayaan Deepavali ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Melaka dan Negeri Sembilan itu dibenar bertemu ahli keluarga di pusat tahanan.

“Polis akan benarkan keluarga terdekat untuk berjumpa dengan tahanan sempena sambutan perayaan Deepavali. Keluarga boleh berbuat demikian di tempat di mana tahanan ditempatkan,” katanya kepada pemberita di Masjid Bukit Aman hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi yang menempatkan kesemua12 individu itu ditahan.

Sejak Isnin, beberapa ahli keluarga tahanan berhimpun di hadapan Bukit Aman sebagai protes dan menggesa polis membebaskan tahanan bagi menyambut perayaan Deepavali.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu, Abdul Hamid berkata, kertas siasatan telah dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Polis sedang tunggu maklum balas dari (pejabat) Peguam Negara...siasatan berhubung kes itu masih berjalan,” katanya.

Sebelum ini, 12 individu itu ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan tempoh 28 hari itu dijadual berakhir pada 6 dan 8 November ini, bergantung pada tarikh penahanan mereka iaitu pada 10 dan 12 Oktober lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!